Tag Archive : Monyet Liar

/ Monyet Liar

“Zara asyik menangis dan saya terpaksa tidurkannya secara meniarap supaya tidak terasa sangat sakit itu,” kata Siti Nur Asikin Sulaiman, berhubung insiden monyet liar mencakar belakang badan bayinya sehingga cedera

Menurut sumber, ibu kepada bayi perempuan yang bernama Aisyah Nur Zara Mohd Azmi, lima bulan itu memberitahu kejadian berlaku pada 11 pagi Ahad lalu.

Tambahnya lagi, ketika itu dia sedang menyiapkan susu bayinya di dapur manakala mangsa baru sahaja bangun tidur dan sudah pandai meniarap.

“Saya meletakkannya di atas katil di bilik tidur utama sebelum pergi ke dapur dan ketika itu, dua lagi anak lelaki berusia 15 tahun (anak kedua) dan lapan tahun (anak ketiga) ada di rumah,” katanya.

Monyet liar masuk dari tingkap dan duduk atas belakang badan bayi

Siti Nur Asikin berkata semasa kejadian, anaknya itu sedang berada di ruang tamu menonton televisyen sebelum secara tiba-tiba dia mendengar jeritan bayi menjerit dan menangis.

“Saya bergegas ke bilik untuk mendapatkannya dan terkejut apabila melihat seekor monyet liar masuk melalui tingkap bilik dan duduk di atas belakang badan bayi saya yang saiznya lebih kurang sama sambil mencakarnya,” katanya.

Namun, apabila dia cuba menghalau haiwan berkenaan, monyet itu seakan menarik tangan bayinya dan mahu membawa lari.

Nasib baik ada jiran yang datang membantu menghalau haiwan tersebut

Tambah Siti Nur Asikin lagi, ketika kejadian dia hanya memikirkan cara untuk menyelamatkan bayinya saja. Namun, mujur ada jiran sebelah yang datang membantu untuk menghalau haiwan berkenaan.

Sejurus selepas itu, dia cuba untuk menenangkan bayi itu dan mendukungnya sehinggalah perasan baju bayinya terkoyak dan mempunyai kesan darah pada badan.

“Ketika kejadian, suami saya bekerja dan berada di luar kawasan, jadi saya terus memandu kereta ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

“Selain itu, jiran saya membuat aduan secara dalam talian di laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada hari sama.

“Kejadian menimpa bayi saya adalah pertama kali. Namun, insiden kehadiran monyet liar di kawasan perumahan ini bukanlah pertama kali berlaku,” katanya.

Bayi terpaksa ditahan di wad selama 14 hari akibat cedera teruk

Sementara itu, doktor juga telah memaklumkan bahawa bayi berkenaan terpaksa ditahan di wad selama 14 hari berikutan tengkuk serta badannya luka.

Katanya, kuku binatang itu berkuman manakala antibodi bayi yang tidak kuat menyebabkan doktor memberikan dos vaksin rabies untuk merawatnya.

Sebagai seorang ibu, Siti Nur Asikin mengakui amat sedih melihat kejadian yang menimpa bayinya itu.

“Luluh hati saya melihat keadaan Zara yang tidak boleh terlentang, jadi saya tidurkannya di atas badan saya secara meniarap” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian berkenaan dan sudah menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan segera sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan perkara ini.

SAYS

//nessainy.net/4/2458908