Tag Archive : nelayan

/ nelayan

Bot karam, nelayan Vietnam ditemui terapung

March 29, 2021 | News | No Comments

Seorang nelayan Vietnam ditemui terapung pada jarak 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini pada Sabtu selepas bot yang dinaikinya dipercayai karam.

Mangsa yang dikenali sebagai Le Hoang Em, 41, ditemui tanpa pakaian oleh sebuah kapal Express 93 dalam keadaan sedar dan berpaut pada pelampung.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya memindahkan nelayan tersebut ke darat pada Ahad selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu dari sebuah kapal pada jam 2.30 petang.

“Bagaimanapun, kru kapal tersebut terlebih dahulu berjaya membawa naik mangsa pada jam 11.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, berpandukan kepada perbualan awal antara mangsa dengan wakil kapal, nelayan tersebut memberitahu bekerja di atas sebuah bot.

Beliau berkata, mangsa memberitahu bot yang dinaikinya itu karam lima hari lalu berhampiran Pulau Nam Du, Vietnam sebelum dihanyutkan sejauh 147 batu nautika.

Katanya, mangsa telah dibawa masuk ke Jeti Tok Bali Supply Base (TBSB) pada jam 9.30 pagi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

“Kita telah maklumkan penemuan nelayan itu kepada pihak kedutaan Vietnam di negara ini.

“Maritim Malaysia Kelantan akan menjalankan siasatan bagi meneliti kejadian sebenar kerana mangsa dijumpai di kawasan perairan negara dan mendakwa bot mereka bersama enam kru karam sejak lima hari lalu,” katanya.

Menurutnya, mangsa akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses selanjutnya.

-sinarharian

Lebih 1,000 bot nelayan asing ditahan

March 26, 2021 | News | No Comments

Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lebih 1,000 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi menangkap ikan tanpa kebenaran sejak 2006.


Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pada tahun ini sahaja, kira-kira 200 bot nelayan asing ditahan kebanyakannya dari Vietnam.

Katanya, APMM sudah menenggelamkan sebahagian bot nelayan yang dirampas untuk dilucutkan hak bagi dijadikan tukun tiruan.
“Setiap bot nelayan asing terbabit dianggarkan berharga RM1.5 juta. Selain Vietnam, bot nelayan asing dari Thailand, Filipina dan Indonesia turut dikesan menceroboh perairan negara terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Hasil pelbagai operasi dijalankan APMM di sepanjang perairan negara termasuk Op Kuda Laut dan Op Naga, kegiatan nelayan asing menangkap ikan tanpa kebenaran di kawasan perairan negara dapat ditangani.
“Ini terbukti apabila tiada lagi aduan bot nelayan asing berada di perairan negara sejak tiga hari lalu,” katanya pada sidang media di APMM Johor, di sini, hari ini.
Mohd Zubil berkata, pihaknya memandang serius isu nelayan asing menceroboh perairan negara dan akan bertindak tegas bagi mengekang kebanjiran mereka yang menangkap hasil laut negara tanpa kebenaran.

hmetro

Nelayan jumpa mutiara RM1.39 juta ditahan polis

February 11, 2021 | News | No Comments

Seorang nelayan miskin yang menemui mutiara oren Melo bernilai 250,000 pound (RM1.39 juta) di Thailand, ditahan polis selepas didakwa menganjurkan parti dadah bagi meraikan kekayaan baharunya.

Akhbar tempatan melaporkan, Hatchai Niyomdecha, 37, menjemput rakan-rakannya ke rumah di Nakhon Si Thammarat, Thailand pada Jumaat lalu selepas ditawarkan jumlah wang berkenaan bagi mutiara yang jarang ditemui.

Polis Thailand berkata, pihaknya merampas beribu-ribu pil methamphetamine di rumah nelayan itu ketika melakukan serbuan selepas menerima aduan daripada jiran mengenai bunyi bising.

Nelayan warga Thailand itu menjadi tajuk utama akhbar di seluruh dunia selepas menemui mutiara Melo yang juga dikatakan paling mahal di dunia, ketika mengutip cangkerang bersama keluarganya di sebuah pantai berhampiran rumahnya.

Polis merampas dua kotak yang mengandungi bahan tidak diketahui dan sebuah kotak mengandungi kira-kira 16,000 pil methamphetamine ketika melakukan serbuan di rumah nelayan itu.

Hatchai menafikan kotak itu miliknya namun polis menemui cap jari nelayan itu pada kotak berkenaan selepas menjalankan ujian forensik terhadap bungkusan terbabit.

Dalam pada itu, Kolonel polis Chokdee Srimuang berkata, pihaknya masih sedang menyiasat Hatchai mengenai rampasan pil dadah berkenaan.

HM

Bot karam, nelayan warga Myanmar hilang

January 27, 2021 | News | No Comments

Lumut: Nelayan warga Myanmar dikhuatiri lemas, manakala dua rakan senegara selamat selepas bot dinaiki karam, dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal tongkang pasir berhampiran Pulau Talang di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian pada 4 pagi dan di kedudukan 10.3 batu nautika dari pulau berkenaan.

Ketiga-tiga warga asing terbabit berkerja di atas bot nelayan tempatan berkenaan.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas menerima laporan daripada Pusat Operasi Maritim Ibu Pejabat Putrajaya pada 7.15 pagi, semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menghantar Kapal Maritim Tugau dan Bot Benteng 6 ke lokasi dengan turut mendapat bantuan pesawat udara CE 208 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, kapal itu dipercayai ‘tersangkut’ pada pukat bot nelayan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua kru berada di atas kapal tongkang pasir untuk menyelamatkan diri, manakala seorang lagi kru berusia 40 tahun disyaki hilang.

“Pasukan unit selam APMM Perak digerakkan ke lokasi kerana bot berkenaan dilaporkan hampir tenggelam,” katanya dalam kenyataannya, malam tadi.

Beliau berkata, kedua-dua kru yang diselamatkan berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan lanjut. Katanya, operasi mencari mangsa diteruskan 7 pagi, hari ini.

hmetro

Dua nelayan dikhuatiri hilang ketika memancing

January 18, 2021 | News | No Comments

MELAKA – Dua nelayan yang menaiki sebuah bot dari Jeti Nelayan Padang Temu sejak empat hari lalu dikhuatiri hanyut berhampiran Pulau Udan di sini pada Ahad.

Nelayan berkenaan dikenali sebagai Ahmad Norizan, 38, dan Wan berusia dalam lingkungan 30-an.

Penolong Pengarah Operasi negeri, Penguasa Kanan Bomba ll Muhammad Izwan Arief berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.26 pagi dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurutnya, SAR itu melibatkan 36 anggota termasuk polis Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Melaka Tengah.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua mangsa dipercayai keluar memancing dan ada nelayan melihat mereka berada di sekitar Pulau Udan pada Rabu lalu.

“Mereka dipercayai hilang empat hari lalu sebelum keluarga membuat laporan polis pada hari ini (Ahad),” katanya.

Muhammad Izwan berkata, setakat ini operasi menyelamat masih diteruskan dalam jarak radius lapan hingga 10 batu nautika dari jeti.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak untuk menggunakan khidmat helikopter bagi membuat pemantauan di udara.

“Kita menasihatkan orang ramai terutama nelayan agar berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti dan sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.

-sinarharian

Nelayan hilang jatuh bot

January 11, 2021 | News | No Comments

Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot dinaikinya ketika berada berdekatan Sungai Udang di sini, pagi hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 12.05 tengah hari berhubung insiden berkenaan.

“Kita menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki terjatuh ke laut pada 8.40 pagi tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda serta Nibong Tebal dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan mangsa dikhuatiri terjatuh,” katanya.

HM

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi perlaksanaan Program Permodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 itu dibuat bertujuan bagi mentransformasikan nelayan ke arah industri perikanan laut dalam dengan menambah baik kaedah sedia ada yang dilihat tidak lagi berdaya saing dari segi kos dan kualiti ikan.

MAFI dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, melalui Dana Jaminan Makanan (DJM), Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan akan menyediakan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan Zon A dan B untuk menaiktaraf peralatan, pukat dan bot.

Menurutnya, langkah berkenaan adalah selari dengan konsep pemodenan vesel tangkapan ikan yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan (DOF) bagi membantu golongan sasar.

“Pemodenan vesel dengan menggunakan teknologi Revolusi Industri (IR 4.0) akan memberi satu transformasi baru dalam sektor perikanan.

“Penggunaan teknologi peralatan menangkap ikan yang moden dan mesra alam dapat membantu kecekapan pengoperasian vesel di samping dapat menjimatkan masa terutamanya vesel yang menangkap ikan di laut dalam (deep sea fishing),” katanya.

Jelasnya, selain daripada berupaya meningkatkan jumlah pendaratan ikan bagi tujuan bekalan makanan, program tersebut juga secara langsung akan membantu nelayan untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi serta menambah baik keselamatan mereka.

“Penggunaan mekanisasi dan automasi peralatan bagi vesel moden juga akan dapat mengurangkan kos tenaga kerja terhadap pengusaha vesel dan kebergantungan kru asing.

“Melalui program ini, pekerjaan nelayan tempatan dalam sektor perikanan dapat dikekalkan dan secara tidak langsung akan menggalakkan belia untuk menceburi industri perikanan

“Adalah menjadi hasrat DOF dan kementerian untuk melihat sektor perikanan menjadi sektor yang berdaya saing dalam masa yang sama memberi impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, MAFI memaklumkan bahawa dana pembiayaan tersebut disediakan melalui Agrobank dan Tekun Nasional dengan kerjasama dari Jabatan Perikanan Malaysia.

-sinarharian

Mayat nelayan hilang ditemukan terapung

December 21, 2020 | News | No Comments

Mayat nelayan yang terjatuh dan hilang di laut berdekatan Jeti Swettenham Pier dua hari lalu ditemukan terapung kira-kira jam 8 pagi tadi.

Mayat Khairul Azhar bin Mohamad, 32 ditemukan oleh nelayan di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara Pulau Tikus di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dengan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak tiga hari lalu ditamatkan pada jam 9.45 pagi tadi.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.

“Operasi SAR ini turut melibatkan beberapa agensi lain antaranya Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya ketika dihubungi tadi.

Selasa lalu, sebuah bot nelayan kelas A yang dinaiki lima nelayan termasuk seorang tekong terlanggar boya berdekatan Jeti Swettenham Pier, di sini menyebabkan salah seorang daripada mereka terjatuh ke laut lalu hilang.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, mangsa yang berasal dari Kuala Muda, Kedah kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru dan berseluar hitam tanpa memakai jaket keselamatan.

Dari keterangan tekong tersebut, bot mereka terlanggar boya menyebabkan sebahagian bot tersebut pecah dan hampir karam.

Empat nelayan telah tercampak ke laut, manakala tekong dan seorang nelayan lagi masih di atas bot yang hampir karam itu.

Tiga daripada mereka yang tercampak ke laut berjaya diselamatkan namun mangsa gagal ditarik.

Kesemua mereka diselamatkan dan dibawa bot nelayan yang berada berhampiran.

-sinarharian

Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama anaknya karam ketika merawai ikan di Pantai Batu Laut, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalarifin Aman Shah berkata, anak lelaki mangsa berusia 40 tahun bagaimanapun terselamat selepas sempat berpaut pada pelampung sebelum jeritannya meminta tolong didengari pemancing berhampiran kira-kira jam 4.30 petang.

“Dalam kejadian itu, mangsa berusia 66 tahun bersama anaknya keluar merawai pada jam 8 pagi.

“Menurut anak mangsa, bot yang dinaiki mereka itu telah karam sebelum ayahnya disyaki lemas,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang berjaya diselamatkan kini dirawat di Zon Kuning Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada jam 8 pagi ini dengan bantuan bomba, Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Balai Polis Tanjung Sepat selain penduduk kampung serta nelayan.

“Operasi SAR yang dijalankan semalam dihentikan sementara berikutan hari yang semakin gelap serta keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 3 minit 13 saat di media sosial menunjukkan sebuah bot dinaiki sekumpulan pemancing berjaya menyelamatkan mangsa yang berpaut pada pelampung.

Lebih menyedihkan, selepas lelaki terbabit berjaya dibawa ke dalam bot, dia mengatakan ayahnya, Ab Rahman Mat Kasim hilang dan telah tenggelam dalam kejadian itu.

SH

‘Kalau tak ambil, jadi menggigil…’

July 27, 2020 | News | No Comments

AMBIL dadah untuk tangkap ikan. Itu antara alasan nelayan yang ditahan dalam serbuan polis di bot nelayan di tengah laut di kawasan perairan Kuala Kedah, dekat Alor Setar, semalam.

Dalam serbuan Ops Rintis bermula 8 pagi itu, seramai 80 individu yang sebahagian besarnya terdiri daripada nelayan ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan, mereka tidak sempat melarikan diri apabila bot mereka dihampiri untuk pemeriksaan.

Operasi dilakukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan dibantu Polis Marin Wilayah Utara yang berpangkalan di Kuala Kedah.

Seorang nelayan yang dikenali sebagai Pak Ndak, 62, berkata, ini kali ketiga dia ditahan polis kerana terbabit dengan dadah yang mana kali pertama ditahan di Kuala Lumpur dan dua kali di Kuala Kedah.

Menurut datuk yang mempunyai dua cucu itu, dia mula mengambil dadah jenis heroin sejak berusia 18 tahun dan ketagihan itu tidak dapat dihentikan kerana dadah sudah ‘sebati’ dengan dirinya.

“Saya ambil dadah hanya untuk hilangkan tension (tekanan) dan cuba untuk berhenti tetapi payah sebab kalau tak dapat, badan saya menggigil.

“Saya beli daripada pengedar di kawasan Kuala Kedah dengan harga RM50 satu pek untuk bekalan ketika bekerja di tengah laut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pak Ndak berkata, disebabkan turun ke laut selama tiga atau empat hari, dia memerlukan tenaga berlebihan dan mengambil dadah untuk memberi tenaga berpanjangan selain menghilangkan mabuk laut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, empat kes kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Selain itu, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952 (masing-masing satu kes),” katanya.

Selain itu katanya, bagi mereka yang memiliki dadah pula, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Jumlah tangkapan urin pula seramai 64 orang dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22.42 gram heroin, 2.29 gram syabu, 500 mililiter (ml) air ketum, 12 ml ubat batuk dan 120 ml cecair metadon dirampas,” katanya.

hmetro

//chooxaur.com/4/2458908