Tag Archive : Nenek

/ Nenek

Nenek 91 tahun akhirnya kahwin

February 23, 2021 | News | No Comments

Kingston: Selepas menjadi kekasih selama sedekad, seorang nenek berusia 91 tahun di Jamaica akhirnya mengahwini pasangannya.

Evelina Meadder-Wilson menerima lamaran Calgent Wilson, 73, selepas lelaki itu sering mengajaknya berkahwin ketika mabuk sejak beberapa tahun lalu.

Ibu kepada empat anak itu sebelum ini jatuh sakit dan Calgent yang bekerja sebagai petani memberikannya semangat untuk kembali sihat.

Mirror melaporkan pasangan itu berkahwin di St Thomas, bulan lalu dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakan.


Evelina berkata, Calgent selalu mengajaknya berkahwin ketika mabuk dan dia hanya mentertawakannya.
“Dia bercakap mengenai perkahwinan dengan saya ketika mabuk.
“Saya tidak mengendahkannya kerana tahu dia mabuk,” katanya.
Bagaimanapun, dia akhirnya menerima lamaran itu selepas dipujuk keluarga untuk menggembirakan Calgent.
Suaminya itu memilih tarikh lahirnya untuk melangsungkan perkahwinan mereka.
Cucu Evelina membantu menyiapkan rambut dan merias wajahnya pada hari pernikahan itu.

hmetro

Nenek bebas virus!

February 16, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: “Syukur, nenek saya yang berusia 87 tahun selamat daripada wabak Covid-19,” kata Mohd Ekhwan Mohd Effandie.

Mohd Ekhwan, 28, adalah cucu kepada Maimunah Mohd Noah, 87, yang juga penghidap penyakit darah tinggi dan sakit jantung yang kini berstatus bekas pesakit Covid-19 awal Februari lalu.

Kongsinya, neneknya mempunyai enam orang anak, 28 cucu termasuk dirinya serta 33 cicit.

Gembira dengan perkhabaran itu, Mohd Ekhwan kemudian memuat naik kisah itu di akaun Twitter miliknya dan tidak menjangka ciapan itu mendapat perhatian warganet.

Mohd Ekhwan berkata, bukan saja neneknya, tiga daripada ahli keluarga bapa saudara dan ibu saudaranya juga dijangkiti wabak itu.

“Nenek saya ke rumah bapa saudara di Nilai untuk berubah ‘angin’ kerana sudah lama tinggal di Johor Bahru pada 10 Januari lalu.

“Tetapi tidak menyangka perjalanan kali ini membawa beliau terpaksa tidur di wad Covid-19 Hospital Tuanku Jaafar Seremban,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, semua ahli keluarganya sudah dibenarkan keluar hospital kecuali menantu neneknya yang kini menjalani rawatan lanjut di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, sebaik saja mengetahui neneknya dijangkiti Covid-19, seluruh ahli keluarga tidak senang duduk apatah lagi mengetahui golongan berusia berdepan risiko komplikasi dan kadar kematian tinggi.

“Nenek dimasukkan ke hospital dari 28 Januari dan discaj pada 2 Februari. Sememangnya semua ahli keluarga berasa sedih dengan dugaan ini pada mulanya.

“Keluarga sudah berusaha untuk mengelak dan menjaga kesihatan diri sebaik mungkin, tetapi kami reda dengan ketentuan Ilahi ini,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata, dugaan yang menimpa keluarganya itu membuatkan dirinya lebih berhati-hati apatah lagi dia juga mempunyai seorang anak yang masih kecil berusia tiga tahun.

Katanya, panggilan video menjadi medium komunikasi bertanya keadaan kesihatan diri keluarganya ketika dikuarantin.

“Mereka juga berkongsi pengurusan pesakit Covid-19 di hospital mahupun pusat kuarantin sangat mesra pengguna.

“Penggunaan telefon untuk berhubung tidak pernah disekat malah, layanan petugas kesihatan juga sangat baik,” katanya.

Berkongsi petua penjagaan kesihatan neneknya, Mohd Ekhwan berkata, pemakanan yang berkhasiat dan kerap makan buah-buahan mungkin menjadi faktor kesihatannya masih baik sehingga kini.

Terdahulu, perkongsiannya mengenai neneknya seorang coronavirus survivor tular di media sosial dan diulang ciap lebih 3,000 kali dan menerima lebih 18,000 tanda suka setakat ini.

hmetro

Nenek didakwa bunuh, bapa tidak mengaku abai anak

January 22, 2021 | News | No Comments

Seorang nenek warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh cucu saudaranya yang berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU), Disember tahun lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Ipzuma Ambo, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ipzuma yang bekerja sebagai pembantu rumah itu didakwa dengan niat telah melakukan kesalahan membunuh kanak-kanak perempuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, di sini antara jam 12.01 tengah malam, 28 Disember 2020 hingga jam 8.10 malam, 30 Disember 2020.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh diwakili peguam Suriati Che Arifin.

Mahkamah menetapkan 8 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam pada itu, bapa kandung kanak-kanak malang itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan melakukan pengabaian ke atas mangsa.

Lelaki yang berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kecederaan fizikal pada tubuh badan kanak-kanak berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 Januari sehingga 30 Disember 2020 di rumah sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nurul Ain yang turut mengendalikan kes ini mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000.

“Tertuduh dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, Suriati memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Maziah Joary membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan memenuhi syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes berkenaan.

Pada 6 Januari lalu, media melaporkan, bapa dan nenek saudara kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, adalah antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak OKU itu di sebuah rumah di kampung Sungai Chinchin, Gombak di sini.

Mangsa berusia lima tahun itu dipercayai menghidap hydrocephalus iaitu lebihan cecair otak sejak lahir menyebabkannya tidak dapat berjalan dengan sempurna.

-sh

Nenek 90 tahun ditipu Macau Scam

June 30, 2020 | Crime | No Comments

PESARA wanita berusia 90 tahun kerugian RM3.83 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pada 13 April lalu, mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa dari Pos Laju Malaysia dan diberitahu terdapat satu bungkusan dihantar dari Ipoh ke Sabah yang mengandungi kad pengenalan dan kad bank atas namanya.

Menurutnya, mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ho Mum Foo dan pegawai atasannya, Inspektor Herman Lee dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

“Dia diberitahu terbabit dalam sindiket kegiatan pengubahan wang haram.

“Suspek memaklumkan butiran mangsa digunakan oleh seorang lelaki warga tempatan yang sudah ditangkap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa diugut akan ditangkap dan direman selama 45 hari sekiranya memberitahu sesiapa mengenai kes ini.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa terpaksa mengikut segala arahan suspek dengan memindahkan wang simpanannya ke tujuh akaun syarikat yang berbeza berjumlah RM3.83 juta secara berperingkat.

“Transaksi pertama berlaku pada 20 April dan terakhir pada 15 Jun lalu di mana usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang dilakukan oleh sindiket ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar segera menghubungi polis sekiranya menerima panggilan telefon sebegini.

“Modus operandi terkini sindiket ini menyasarkan kepada golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini jenayah siber,” katanya.

hmetro

Nenek hilang disambar buaya

June 26, 2020 | News | No Comments

SEORANG wanita warga emas dilaporkan hilang semalam dipercayai disambar buaya ketika mencuci pakaian di Sungai Sugut, Kampung Benang, Beluran.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Peredot Kanon, 62, dilaporkan bersama anaknya di tebing sungai berkenaan.

Menurut sumber, mangsa tiba-tiba disambar reptilia terbabit sebelum ditarik ke dasar sungai dan belum ditemui sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.30 pagi ini daripada polis.

Katanya, seramai empat anggota bergegas ke lokasi dengan satu kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bot.

“Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di permukaan sungai sedang dijalankan dan belum menemui sebarang petunjuk.” katanya.

Menurutnya, operasi SAR dijalankan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

hmetro

Nenek layan cucu main tic tac toe di tingkap

April 8, 2020 | Viral | No Comments

Video yang memaparkan seorang wanita melayan cucunya dengan bermain permainan tic tac toe pada sebuah tingkap kaca menarik perhatian warganet.

Video yang dimuat naik di Facebook Daily Mail juga memaparkan kanak-kanak tersebut sangat gembira dengan permainan itu.

“Saya sayangkan dia. Saya tidak mahu menang, saya mahukan dia menang.

“Kamu menang Evie! Kamu menang!” kata wanita itu kepada cucunya di akhir video.

Video tersebut mendapat 1,300 tanda suka dan 231 perkongsian dalam masa hanya satu jam.

-sinarharian

//usounoul.com/4/2458908