Tag Archive : news

/ news

LELAKI warga Indonesia ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian bertumbuk di Pintu Utama Grandstand Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, dalam kejadian 3.45 petang itu, suspek berusia 32 tahun dipercayai menumbuk petugas lelaki berusia 24 tahun.

“Puncanya apabila lelaki warga Indonesia itu ditegur kerana menendang pagar. Mangsa bertugas di Pintu Utama Grandstand SIC sebelum suspek terbabit menendang pagar.

“Mangsa yang menegur lelaki itu kemudiannya diserang dan ditendang. Dalam kejadian itu mangsa cedera di bibir,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, mangsa menerima lima jahitan dan suspek terbabit ditahan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, video kejadian bertumbuk di Pintu Utama Granstand SIC tular di Facebook serta dikongsi netizen.

Semalam, SIC menjadi lokasi bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia.

Harian Metro

Rakyat Malaysia sememangnya diketahui suka melancong ke negara-negara Asia. Dan tidak dinafikan Jepun menjadi salah satu destinasi pilihan ramai.

Negara matahari terbit itu bukan sahaja kaya dengan budaya tetapi tampil dengan pelbagai tempat yang menarik.

Salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi ketika berada di Jepun, sudah tentu di Gion, yang merupakan salah satu tempat tarikan pelancong.

Terbaru, satu undang-undang telah dikuatkuasakan dimana anda tidak dibenarkan sama sekali mengambil gambar atau video di jalan-jalan persendirian.

Bagaimana ingin tahu ia jalan persendirian? Terdapat papan tanda diletakkan pada jalan tersebut.

Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelancong tidak menghormati penduduk yang berada di situ dengan mengambil gambar dan merakam video tanpa persetujuan mereka.

Jika anda didapati melanggar peraturan tersebut, anda bakal dikenakan saman sebanyak 10,000 yen (RM350).

Jika anda tidak ditangkap ketika itu, pihak berkuasa akan melihat CCTV dan akan mengeluarkan saman terhadap anda.

Sehubungan itu bagi anda yang akan melancong ke Jepun perlulah ambil tahu peraturan dan larangan yang telah ditetapkan.

-FMT

Seorang ahli Parlimen terbongkar bersembang dengan wanita dipercayai pelacur ketika dewan bersidang, malah perbuatannya itu dirakam wartawan yang sempat mengambil gambar menunjukkan perbualan pada skrin telefon bimbit berkenaan.

Bohdan Yaremenko, yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak dilihat berbincang mengenai harga dan perkhidmatan seks di laman web Bukvy oleh seorang wartawan, selain turut dilihat melayari aplikasi Tinder, lapor BBC.

Ahli politik itu yang juga ketua Jawatankuasa Perhubungan Awam pada mulanya mempertahankan perbuatannya di Facebook.

Malah, dia memberikan alasan kononnya mengada-adakan perbualan itu untuk memprovokasi wartawan yang menyaksikan persidangan, lapor portal Kyiev Post.

Bagaimanapun, dia kemudian memadamkan kenyataan itu selain memohon maaf ‘kepada semua orang yang terkesan akibat perbuatan saya, termasuk isteri, anak-anak serta parti dan presiden.’

Perbuatan wartawan mendedahkan sembang peribadi ahli politik ketika sesi Parlimen bukan sesuatu yang asing di Ukraine.

-Harian Metro

Jika pergi ke mana-mana majlis keraian, kita pasti akan dihidangkan dengan minuman pilihan sama ada teh atau kopi. Ia telah menjadi amalan atau trend di mana-mana tempat dimana minuman tersebut akan dihidangkan mengikut permintaan anda.

Sehinggakan ada yang obses pada minuman tersebut, contohnya ia “wajib” dihidangkan pada setiap permulaan hari anda sebelum memulakan sebarang tugas.

Ini kerana minuman teh mempunyai kelebihan tersendiri iaitu mengelakkan daripada serangan jantung serta bagus untuk mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Seorang wanita, Tina Watson turut mempunyai minat yang sama dan obses kerana dia akan minum teh sebanyak 40 kali sehari sehinggalah dia meninggal dunia.

Malah dia turut ingin dikebumikan dalam keranda dengan jenama teh kegemarannya itu.

Kejadian tersebut berlaku di Leicester, England dan dia telah memesan kepada ahli keluarganya cara untuk menanamnya.

Menurut anak perempuannya, Debs Donovan, ibunya pernah memberitahu ingin mayatnya dikebumikan dalam keranda jenama Typhoo.

“Ketika kami berbual selepas kematian bapa tiri empat tahun lalu, dia memberitahu ingin diletakkan dalam keranda yang menyerupai kotak gergasi uncang teh dan dia serius dengan pilihannya itu,” katanya.

Hasrat terakhir Watson direalisasikan oleh pengarah pengebumian, Paul Pender yang menyifatkannya sebagai satu permintaan luar biasa pernah diterimanya.

Watson pernah didiagnosis barah dua kali dan kedua kakinya telah dibuang selepas digigit serangga di Sepanyol 14 tahun lalu.

“Ibu tidak pernah membiarkan apa-apa pun melemahkan semangatnya. Dia sering melihat sesuatu perkara itu daripada sudut positif walaupun sangat pahit,” kata Donovan.

-FMT

Satu rakaman video menyayat hati tular di media sosial memaparkan seekor monyet dewasa masih memegang dan memangku bayinya yang telah mati 10 hari lalu.

Monyet vervet itu dirakam ketika rombongan pelajar dari sebuah akademik di Afrika Selatan dan mereka memberitahu, ia momen paling menyedihkan.

Daily Mail melaporkan, anak monyet masih bayi itu telah kaku, kering namun masih dijaga elok oleh si ibu.

Menurut pelajar akademik, Tracey Mobley, suasana itu cukup menyedihkan.

“Saya lihat si ibu cuba meletakkan anaknya di dahan pokok seolah-olah suruh bergerak, tetapi anak itu sudah mati. Ia sesuatu yang menyedihkan untuk ditonton.

“Bayi itu dipercayai mati selepas dilahirkan dan ia memberi kesan mendalam kepada si ibu apabila mengetahui apa yang dimiliki sudah tiada,” katanya.

Difahamkan, bayi monyet itu dilahirkan pramatang dan sukar untuk hidup dalam jangka masa panjang.

Sinar Harian

Seorang YouTuber warga Jepun dipercayai mati selepas terjatuh ketika membuat siaran langsung di Gunung Fuji dalam kejadian pada Isnin lalu.

Menerusi satu rakaman video, lelaki yang menggunakan nama samaran Tedzu di platform perkongsian video, Niconico dilihat sedang mendaki ke bahagian puncak sebelum tergelincir.

Rakaman itu menunjukkan dia terjatuh selama beberapa saat sebelum siaran langsung terpadam.

Keadaan cemas itu menyebabkan penonton yang melihat rakaman video terbabit memaklumkan pihak berkuasa.

Polis kemudiannya menghantar sebuah helikopter ke kawasan itu dan menemui mayat di laluan Subashiri yang terletak pada ketinggian kira-kira 2987 meter.

Harian Metro

Seorang bekas pelajar Kolej Boston warga Korea Selatan didakwa mempunyai “kawalan total dan penuh” , dengan sengaja menyebabkan kematian teman lelakinya dengan membunuh diri termasuk dengan menggunakan “ratusan” mesej, antaranya “pergi mati” dan “bunuh diri”.

Pendakwaan terhadap Inyoung You, 21, yang dikaitkan dengan kematian Alexander Urtula, 22, diumumkan di Massachusetts semalam.

Peguam daerah Suffolk, Rachael Rollins mendakwa You “mendera” Urtula yang meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis konvokesyen 20 Mei lalu, lapor BBC.

Peguam itu mendedahkan selepas siasatan menyeluruh, polis memutuskan You secara fizikal, lisan dan psikologi “mendera” Urtula sepanjang hubungan mereka selama 18 bulan yang huru-hara.

“Penderaan menjadi lebih kerap, lebih kuat dan lebih menjatuhkan maruah pada hari-hari dan jam terakhir yang membawa kepada kematian Urtula,” kata peguam itu.

Rollins berkata pasangan itu saling berbalas mesej dengan lebih 75,000 teks dalam tempoh dua bulan sebelum kematian Urtula termasuk “beratus” mesej yang mendorong Urtula membunuh diri.

Dalam kiriman mesejnya, You mendesak Urtula “membunuh dirinya sendiri” dan “pergi mati”, kata peguam itu, dipetik CBC News.

Penyiasat melalui mesej teks dikongsi kedua-dua mereka mendapati You memberitahu Urtula supaya “pergi bunuh diri” atau “pergi mati” dan bahawa keluarga dia dan dunia akan lebih baik tanpa dia, kata pendakwa .

Dia menambah pada 20 Mei, You menjejaki lokasi Urtula yang pergi ke garaj Renaissance di mana dia membunuh dirinya.

Rollins berkata, You kini berada di Korea Selatan dan mereka “optimis dengan berhati-hati” yang dia akan pulang ke Boston secara sukarela untuk menghadapi tuduhan itu.

Kes itu mirip kejadian membabitkan Michelle Carter, wanita Massachusetts yang disabitkan dengan pembunuhan sukarela kerana menghantar teks kepada teman lelakinya, mendorong dia membunuh dirinya pada 2014. Carter, kini sekarang 22, menjalani hukuman penjara 15 bulan, lapor CBS News.

Kes Carter menarik perhatian antarabangsa disebabkan persoalan-persoalan perundangan yang mencabar dan nada mesejnya kepada Conrad Roy III. “48 Jam” meliputi kes dalam episod, “Death by Text.”

Cadangan perundangan negeri yang dinamakan susulan kes Roy memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun.

Rollins berkata kes itu adalah serupa, tetapi “berlainan dan berbeza” berbanding kes Carter walaupun ia juga melibatkan penderaan fizikal.

-FMT

Kardigan Kurt Cobain dilelong

October 23, 2019 | News | No Comments

Baju kardigan ikonik dipakai anggota kumpulan Nirvana, Kurt Cobain ketika persembahan album Unplugged pada 1993 dijangka dijual antara AS$200,000 (RM836,460) hingga AS$300,000 (RM1.25 juta) pada lelongan Jumaat ini.

Pakaian sejuk berwarna hijau zaitun yang sudah lusuh itu mempunyai kesan kotoran gelap dan satu lubang kecil disebabkan terkena puntung rokok.

Pelelong Julien’s Auctions dalam satu kenyataan berkata, gitar Mustang Fender milik Cobain yang digunakannya sewaktu konsert jelajah In Utero juga akan dijual dalam lelongan selama dua hari itu.

Ini kali kedua Julien’s melelongkan kardigan jenama Manhattan itu yang pernah dijual pada harga sebanyak AS$137,500 (RM575,231) pada November 2015.

Julien’s mendapatkan kardigan itu daripada Jackie Farry, pengasuh anak perempuan Cobain, Frances Bean yang kini berusia 27 tahun.

Persembahan langsung album Unplugged dirakam kurang enam bulan sebelum Cobain membunuh diri.

Kertas pinggan terpakai yang digunakan penyanyi itu untuk menulis senarai lagu Nirvana bagi persembahan di sebuah kelab di Washington dilelong sebanyak AS$22,400 (RM93,710) pada awal tahun ini.

Satu lagi kardigan yang dipakai Cobain pada sesi penggambaran terakhirnya berjaya dijual pada harga AS$75,000 (RM313,762).

Harian Metro

Pembantu rumah buta didera sejak lapan tahun lalu.

October 23, 2019 | News | No Comments

Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa dera sepasang suami isteri sehingga buta sejak lapan tahun lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam satu serbuan di sebuah rumah Taman Kledang Emas, Ipoh, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, maklumat awal diterima mendakwa mangsa telah dieksploitasi oleh majikannya sejak 2011.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, mangsa telah dipukul menggunakan rotan dan tangan, ditumbuk di muka serta tidak pernah dibenarkan pulang ke negara asalnya.

“Mangsa berada dalam keadaan trauma dan ketakutan semasa diselamatkan polis, siasatan terhadap mangsa kemudiannya menemui kesan luka lama di bahagian tubuh badan dipercayai dipukul.

“Muka mangsa juga bengkak dipercayai ditumbuk dan hilang penglihatan akibat dipukul oleh majikan sejak 2011 lalu,” katanya.

Beliau berkata, majikan mangsa iaitu suami isteri masing-masing berusia 35 dan 36 tahun telah ditahan di kediaman itu pada hari sama serbuan dilakukan.

“Polis telah mendapatkan perintah reman bagi kedua-dua suspek bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 12 Akta Anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (Atipsom) 2007,” katanya.

Sinar Harian

Sesiapa yang pernah menonton Final Destination pasti akan teringat babak ini. Kalau selama ini kita ingat ia hanya berlaku di dalam filem, tapi kali ini berlaku dalam dunia nyata.

Seorang pemandu di Georgia, U.S terselamat apabila keretanya kemalangan dan melanggar lori yang membawa muatan kayu balak.

Menurut CNN, pemandu tersebut sedang menunduk untuk mencapai barang di dalam keretanya sebelum melanggar belakang lori tersebut.

Menurut jurucakap balai bomba daerah Whitfield, Edward O’Brien, berdozen kayu balak tersusuk pada cermin hadapan kereta tersebut, namun pemandu itu bernasib baik apabila, tusukan berdozen kayu balak itu membuat seakan ruang di mana mangsa duduk dan tidak mengenai kepala mangsa.

Keadaan itu membolehkan mangsa terselamat dengan kecederaan ringan. Pihak bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa.

Ladbible

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908