Tag Archive : OPERASI

/ OPERASI

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi dalam tempoh masa sebagaimana lesen perniagaan yang dikeluarkan dan tidak terhad sehingga jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Isnin, ahli-ahli Parlimen terlibat berkata, tempoh operasi kedai makanan dan minuman ketika ini menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

“Kami menggesa Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka (peniaga).

“Ia memandangkan makan di kedai tidak dibenarkan dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh 21 ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub.

Turut bersama, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Turut membuat kenyataan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin; Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Kuala Selangor,

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye; Ahli Parlimen Batu Kawan,Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina.

Menurut mereka, membenarkan peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan penghantar makanan.

Katanya, kebenaran itu akan menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.

“Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.

“Kami juga menggesa Kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi sepanjang PKP dengan waktu operasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali bagi aktiviti tertentu.

Katanya, ia termasuk restoran, kedai makan, penjaja tepi jalan dan beredar serta medan selera, namun tidak boleh makan di premis berkenaan sebaliknya hanya penghantaran, pembungkusan dan pandu lalu sahaja dibenarkan.

-sinarharian

Jangan alpa kelonggaran diberikan kerajaan

June 23, 2020 | News | No Comments

KUALA LUMPUR – Bagi ‘kaki wayang’ dan penggemar filem tempatan, mahupun antarabangsa, pengumuman kerajaan semalam untuk membenarkan pawagam kembali beroperasi bermula 1 Julai depan, sudah tentu merupakan satu perkhabaran gembira.

Selepas hampir tiga bulan terpaksa menonton ‘layar kecil’ di rumah dengan rancangan dan filem lama yang disiar berulang kali, baik menerusi siaran televisyen digital percuma, mahupun stesen televisyen berbayar, kelonggaran yang diberikan ini amat ditunggu-tunggu.

Antara filem yang dijadual untuk ditayangkan di pawagam adalah filem perisikan British terkenal, ‘James Bond: No Time To Die’, yang sepatutnya ditayangkan pada April lepas, namun terpaksa ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Turut ‘beratur’ menunggu giliran untuk ditayangkan termasuk filem francais Marvel ‘Black Widow’; filem keluaran Walt Disney Pictures ‘Mulan’, serta filem seram ‘Antlers’ dan ‘Antebellum’.

Bukan sahaja dapat menonton wayang, kerajaan turut memutuskan untuk membenarkan aktiviti teater dan ‘live event’, serta riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Kebenaran yang sama juga diberikan terhadap penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.

Namun dalam keghairahan terhadap kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan, aspek kawalan kendiri serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan oleh kerajaan perlu terus diutamakan.

Sudah tentu, kita tidak mahu kes jangkitan Covid-19 di negara ini kembali meningkat dan wujud kembali kluster baharu, dek kealpaan dan kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Lihat sahaja apa yang berlaku tiga hari lalu, apabila timbul kluster di Labu Lanjut, Sepang, yang menjangkiti lima individu setakat ini, dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung.

Walaupun jumlahnya hanya satu angka, tidak mustahil angka itu akan meningkat serta timbul lagi kluster baharu seumpamanya, jika aspek kawalan kendiri termasuk amalan jarak sosial diabaikan.

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri beberapa hari lepas mengeluarkan amaran tentang ‘fasa baharu dan berbahaya’ pandemik Covid-19, apabila orang ramai mula bosan dengan perintah berkurung dan kawalan pergerakan, sedangkan virus itu masih merebak.

Ingatlah, kita belum menang walaupun semalam buat kali kedua, tiada kes penularan di negara ini dalam kalangan warganegara direkodkan, selepas kali pertama dicatatkan pada 9 Jun lepas.

Berjaya atau tidak usaha untuk memutuskan rantaian pandemik ini, banyak bergantung kepada usaha rakyat sendiri, kerana Malaysia hanya boleh mengumumkan bebas daripada jangkitan Covid-19 sekiranya tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari.

-sinarharian

LHDN ubah waktu operasi

May 14, 2020 | Info | No Comments

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan perubahan waktu operasi kaunter bayaran di kaunter duti setem dan pusat bayarannya.

LHDN dalam kenyataan berkata, bagi bayaran duti setem, cawangannya akan beroperasi 8 pagi hingga 1 tengah hari (berdasarkan hari bekerja di setiap negeri).

Manakala bagi lain-lain perkhidmatan, waktu operasi untuk pejabat setem cawangan akan dibuka pada 8 pagi hingga 3 petang dan pusat khidmat hasil bermula 8 pagi hingga 1 tengahari, 1.30 tengahari hingga 3 petang.

Selain itu, bagi kaunter pusat bayaran LHDN di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, waktu operasi urusan bayaran melalui kaedah tunai, kad debit atau kad kredit, bermula 8 pagi hingga 2 petang, Isnin hingga Jumaat.

Untuk bayaran melalui kaedah lain, waktu beroperasi bermula 8 pagi hingga 3 petang, Isnin hingga Jumaat.

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan boleh melayari portal rasmi LHDN.

hmetro

//soaheeme.net/4/2458908