Tag Archive : Orang balik kampung

/ Orang balik kampung

Alor Setar: “Semalam saya ke Langkawi, saya nampak ketika mahu naik dan turun feri orang terlalu ramai dan bersesak-sesak, memang agak susah hendak kawal, sekarang masing-masing kena jaga diri.”

Demikian pengalaman Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, yang menyatakan penularan Covid-19 19 di Kedah agak membimbangkan berikutan terdapat kes berpunca penduduk luar yang balik bercuti ke kampung masing-masing.

Beliau berkata, biarpun Kedah tidak mempunyai kluster baharu, namun Kluster Kolam yang berpunca daripada Orang Kena Tahan (OKT) pada 12 Disember lalu masih aktif.

“Kita memang bimbang, kelmarin saya berjumpa dengan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ishak Hussain dan beliau beritahu ada kes disebabkan individu dari zon merah pulang ke kampung di sini dan ia menyebabkan kes di negeri ini naik sikit.

“Kemudian ada kes individu dari Pulau Pinang membawa virus ke kampung, lepas itu mereka pergi bercuti, pergi kedai makan dan rumah kenduri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya sangat berharap penduduk termasuk yang pulang ke kampung agar sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, rakyat Kedah perlu menjadikan kes penularan Covid-19 di Selangor sebagai pengajaran sehingga kerajaan terpaksa melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Januari depan.

“Kalau boleh tangguhkan dulu majlis perjumpaan rakan sekolah atau jamuan makan, jika ada kenduri kahwin ikutlah SOP.

“Kita tak mahu berlaku seperti di Kelantan, kes meningkat kerana aktiviti balik kampung semasa musim cuti,” katanya.

hmetro

//ashoupsu.com/4/2458908