Tag Archive : pengeluaran

/ pengeluaran

Usah gelap mata bila dapat wang i-Sinar

February 16, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Had pengeluaran i-Sinar perlu mengambil kira keperluan semasa kerana ia hanya bersifat penyelesaian sementara dalam jangka masa pendek.

Ia termasuk menyelesaikan perkara yang mendesak dan tertangguh akibat penularan Covid-19 dan bukannya peluang untuk ‘raya sakan’.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, aspek pengurusan kewangan juga perlu cekap bagi mengelakkan wang berkenaan diguna secara tidak terkawal.

Katanya, dalam konteks semasa, pengeluaran wang berkenaan seharusnya digunakan untuk pembiayaan pendidikan anak-anak selari dengan konsep perbelanjaan kepenggunaan.

“(Digunakan) untuk makan, pakaian dan elemen asas kehidupan itu tidak salah, tetapi harus kepada perkara produktif kerana perlu diingat, ia adalah wang kita sendiri dan bukannya pemberian hadiah atau sumbangan.

“Mungkin ada yang ingin mengeluarkannya dalam jumlah yang banyak sekali gus, tetapi wang itu perlu disimpan di tempat yang lebih selamat.

“Penyakit gelap mata akibat duit ini, bukan hanya berlaku kepada golongan biasa dan pertengahan, tetapi orang yang biasa hidup mewah juga berdepan masalah ini,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan tampil dengan kempen dan promosi menyeluruh bagi mengingatkan orang ramai supaya berbelanja dengan berhemah apabila pengeluaran i-Sinar dibuat.

Katanya, walaupun nasihat itu biasa didengar, namun ia perlu untuk memastikan orang ramai tidak berbelanja sesuka hati kerana wang itu adalah simpanan untuk masa depan.

“Pengeluaran simpanan yang dibenarkan ini juga satu pemberian yang besar ertinya. Jadi ia perlu digunakan dengan bermakna, pastikan perkara yang perlu diselesaikan dulu berbanding yang lain.

“Ini bukan kejayaan, bukan juga kemenangan, ini penyelesaian sementara. Ini duit kita untuk masa depan, tetapi dikeluarkan lebih awal. Jadi kita kena uruskannya sebaik mungkin,” katanya.

Khamis lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan pengeluaran i-Sinar.

Ia berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas orang awam yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

-hmetro

Kesan pengeluaran akaun satu KWSP

January 12, 2021 | News | No Comments

DISEMBER lalu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran akaun satu bagi ahli yang terjejas akibat Covid-19.
Walaupun pengumuman itu memberi kelegaan dalam kalangan ahli, perlu diingatkan bahawa keputusan itu memberi kesan kepada simpanan persaraan.

Simpanan KWSP tidak sama seperti simpanan di institusi perbankan.

Simpanan KWSP ialah simpanan jangka masa panjang sebagai pendapatan utama kepada pencarum apabila mencapai umur persaraan, manakala simpanan kecemasan pula bagi tujuan kecemasan dan mudah dikeluarkan seperti simpanan di bank.

Jumlah simpanan kecemasan yang dicadangkan ialah sebanyak enam kali daripada jumlah gaji bulanan.

Apa yang terjadi pada hari ini, caruman yang dikhususkan untuk persaraan dibenarkan pengeluaran sebelum tiba masanya.

Hal itu akan menyebabkan simpanan persaraan berkurangan. Sebagai contoh, sekiranya ahli yang mempunyai jumlah simpanan akaun satu sebanyak RM50,000, pengeluaran sebanyak RM10,000 menjadikan pengurangan simpanan sebanyak 20 peratus.

Walaupun caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam akaun satu sehingga amaun yang diterima digantikan semula, berapa lamakah ahli (khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan berusia) perlu mencarum bagi mendapat kembali jumlah asal simpanan?

KWSP menyasarkan simpanan minimum ahli sebanyak RM240,000 apabila mencapai umur 55 tahun berdasarkan peningkatan jangka hayat penduduk dan kadar pencen minimum pekerja sektor awam.

Forum Ekonomi Dunia mencadangkan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan untuk simpanan persaraan.

Namun, laporan tahunan 2019 menunjukkan, sejumlah 75 peratus ahli aktif mempunyai jumlah simpanan kurang daripada RM100,000, manakala 58 peratus ahli memiliki jumlah simpanan kurang daripada RM50,000.

Bimbang simpanan persaraan tidak mencukupi, pelbagai inisiatif dilakukan, antaranya dengan memperkenalkan Skim Persaraan Swasta (PRS) pada tahun 2012.

Namun, skim PRS dilihat kurang berkesan memupuk tabiat menyimpan dalam kalangan masyarakat kerana mereka yang menyimpan melalui skim PRS hanya berminat dengan insentif pengecualian cukai pendapatan yang oleh kerajaan sebanyak RM3,000.

Kaji selidik oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pada tahun 2018 menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia sukar untuk menyediakan RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, sehingga tahun 2019, sebanyak 84,805 kes muflis dan lebih separuh kes berlaku dalam kalangan mereka yang berumur 45 tahun ke bawah, 42 peratus berpunca daripada pinjaman peribadi dan kad kredit.

Jika dibandingkan antara jumlah akaun PRS dengan jumlah pemegang kad kredit, setakat tahun 2019, jumlah pemegang kad kredit ialah sebanyak 8.9 juta, manakala jumlah akaun PRS hanya 455,000 dengan jumlah aset sebanyak RM3.5 bilion.

Selain kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, ia juga berkaitan dengan psikologi pengguna yang dapat diterangkan melalui model hyperbolic discounting.

Model itu menerangkan walaupun pengguna mampu memperoleh ganjaran yang besar pada masa hadapan, oleh sebab faktor masa, mereka pilih ganjaran yang lebih kecil tetapi pada masa yang singkat.

Mungkin hari ini kita boleh menggunakan akaun satu, namun adakah kita mempunyai sumber kewangan lain sekiranya keadaan serupa berulang?

SH

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran akaun satu yang disasarkan seperti yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas.

“Semua pandangan dan input daripada pelbagai pihak berkepentingan sedang dalam proses pertimbangan,” menurut dana persaraan itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut KWSP, kemudahan ini perlu dibuat berdasarkan satu perincian secara teliti bagi mengimbangi keperluan ahli menangani cabaran semasa dan memastikan simpanan persaraan untuk kesejahteraan masa depan.

“Perincian dan syarat-syarat kemudahan pengeluaran tambahan ini akan dibuat dalam masa terdekat setelah keputusan akhir dimuktamadkan,” katanya.

-sinarharian

//oackoubs.com/4/2458908