Tag Archive : Penghantar makanan

/ Penghantar makanan

Hati mulia seorang penghantar makanan

February 26, 2021 | Viral | No Comments

Kuala Lumpur: Mulianya hati seorang penghantar makanan lelaki apabila sanggup memberi makanan dan minuman sekalipun tidak mengenali individu yang dibantu.

Pengalaman dibantu penghantar makanan itu dikongsikan bapa kepada dua anak Mohd Zairam Neezar, 34, di Facebook (Fb) miliknya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Mohd Zairam berkata, dia bertemu dengan penghantar makanan itu tanpa sengaja ketika keretanya tersadai di bahu jalan akibat tayar pancit.

Ketika itu, Mohd Zairam yang juga pengurus bahagian sumber manusia sebuah syarikat utiliti dalam perjalanan pulang ke rumah di Cyberjaya bersama anaknya, Dian Irdina, 6.

Katanya, insiden itu berlaku di Jalan Teknokrat, Cyberjaya sekitar 2.30 petang selepas dia mengambil anak kedua dari sebuah tadika di Bangsar, di sini.

“Ketika memandu, saya mendengar bunyi daripada bahagian belakang tetapi abaikan kerana menyangka tiada apa-apa yang berlaku.

“Tidak lama kemudian, bunyi itu semakin jelas dan bagi mendapatkan kepastian, saya memberhentikan kereta untuk memeriksa sebelum mendapati tayar belakang bahagian kiri sudah pancit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tanpa berlengah, Mohd Zairam segera menukar tayar yang pancit dengan simpanan, manakala anak dibawa keluar ke tempat lapang kerana enggan berada terlalu lama di laluan yang sibuk dengan kenderaan lalu lalang dan berhampiran tapak pembinaan.

Mohd Zairam berkata, tidak lama kemudian, dia didatangi penghantar makanan yang membawa bersama minuman dan makanan.

“Dia (penghantar makanan) menghampiri saya dan bertanya masalah kerana memaklumkan sudah dua kali nampak saya ketika melalui jalan yang sama.

“Lelaki itu memberitahu dia tidak tahu bagaimana untuk membantu tetapi boleh memberi minuman dan biskut saja.

“Saya mahu memberi wang bagi membayar semula kepadanya tetapi dia menolak kerana ikhlas membantu.

“Katanya, dia kasihan dan memahami keadaan saya kerana turut mempunyai anak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Zairam, dia hanya sempat bertanya nama penghantar makanan dan mengambil gambarnya sebelum lelaki itu beredar.

“Jadi, saya kongsikan kisah itu di Fb dengan harapan dapat menjejakinya. Keesokannya, rakan sekerja saya memberitahu penghantar makanan itu adalah sepupunya.

“Apa pun, saya terharu dengan pertolongannya dan berharap perkongsian saya dapat memberi persepsi positif terhadap golongan penghantar makanan yang bukan hanya menghantar pesanan tetapi turut membantu masyarakat dalam kesusahan,” katanya.

-hmetro

Penghantar makanan kantoi edar air ketum

February 17, 2021 | News | No Comments

Helah lelaki mengedar air ketum menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan terbongkar selepas dia ditahan polis di Taman Sri Timah, di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sepasukan anggota polis daripada Balai Polis Kajang membuat tangkapan terhadap suspek berusia 26 tahun itu di lokasi berkenaan pada 5 petang.

“Pemeriksaan di dalam satu beg penghantaran makanan yang dibawa oleh suspek menemui 23 bungkusan disyaki air ketum, 36 bungkusan daun ketum dan satu plastik daun ketum basah.

“Siasatan awal mendapati suspek berkenaan menjalankan pengedaran air ketum di kawasan Lembah Klang sejak bulan lalu dengan menggunakan kenderaan persendirian.

“Jumlah keseluruhan rampasan air dan daun ketum dianggarkan bernilai RM487 berkenaan dipercayai boleh dibekalkan kepada 20 hingga 50 individu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohd Zaid berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia negatif dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

HM

Tak sempat lari

June 19, 2020 | News | No Comments

CUBAAN seorang lelaki melarikan diri selepas melanggar penghantar makanan di Batu 2 1/2, Taiping, gagal apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam kejadian 7.50 malam itu, suspek berusia 24 tahun yang menunggang sebuah motosikal dikatakan melanggar mangsa dan menyebabkan dia terbabas.

Menurutnya, suspek bangun dan melarikan diri ketika anggota polis cuba menahannya.

“Akibat takut ketika dihampiri polis yang berada di lokasi kejadian, suspek cuba melarikan diri namun ditahan.

“Dalam pada itu, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan reman dan akan dituduh di mahkamah esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

hmetro

SERDANG – Insiden seorang lelaki bertindak menendang seorang wanita yang juga penghantar makanan di Bandar Puteri Puchong, semalam dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

Dalam video berdurasi 58 saat yang tular di Facebook, menunjukkan seorang wanita terjatuh akibat ditendang seorang lelaki.

Selain video tersebut, satu lagi video turut tular adalah tindakan seorang lelaki yang didakwa menendang wanita berkenaan.

Susulan kejadian itu, beberapa penghantar makanan dilihat berkumpul di hadapan premis terbabit menunjukkan protes.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 4.10 petang, lelaki terbabit dipercayai tidak berpuas hati kerana wanita yang menunggang motosikal telah memotong ketika dia ingin membuat pusingan U.

“Akibat kejadian itu, lelaki terbabit menunjukkan isyarat lucah sebelum bertindak menolak mangsa. Mangsa turut ditendang sebanyak tiga kali di bahagian pinggang menyebabkan dia terjatuh. Pengawal keselamatan telah meleraikan insiden itu,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Puchong untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua individu berkenaan telah dirakam keterangan dan wanita berkenaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik serta menarik balik laporan polis yang dibuat,” katanya.

-sinarharian

Penghantar makanan di Kedah wajib berdaftar

April 22, 2020 | News | No Comments

INDIVIDU yang menjalankan perkhidmatan menghantar makanan di Kedah diminta untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera bagi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew berkata, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Tadbir Urus PBT Negeri Kedah yang diadakan semalam.

“Keputusan itu selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 April lalu yang menyatakan individu yang menghantar makanan perlu mendaftar dengan PBT.

“Dalam mesyuarat semalam, telah diputuskan supaya semua individu yang diupah untuk menghantar makanan perlu berdaftar dengan PBT mengikut prosedur pendaftaran selain mematuhi tatacara kawalan penghantaran makanan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara tatacara kawalan yang telah ditetapkan adalah radius penghantaran makanan yang dibenarkan cuma dalam lingkungan 10 kilometer dari alamat semasa pemohon.

Tan berkata, pendaftaran tersebut dilaksanakan secara percuma dengan pemohon boleh mendapatkan borang secara dalam talian di laman web PBT atau di pejabat PBT berhampiran dan kelulusan tertakluk kepada penilaian pihak PBT.

Sementara itu, Tan berkata bagi pengendali makanan pula, mereka perlu mematuhi garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian sepanjang PKP yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan.

Tegasnya, pengendali makanan yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai lesen PBT seperti mereka yang memasak secara sendiri untuk dijual secara dalam talian perlu merujuk kepada Kementerian Kesihatan serta mendapatkan suntikan vaksin anti tifoid.

hmetro

//nessainy.net/4/2458908