Tag Archive : petugas hadapan

/ petugas hadapan

Petugas barisan hadapan dari pelbagai jabatan dan agensi di Negeri Sembilan akan menjadi kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata vaksin berkenaan dijangka tiba di negeri ini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun jumlah keseluruhan petugas terbabit yang akan menerima suntikan berkenaan belum ditentukan lagi.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan memberi laluan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19.

“Saya juga bersedia menerima suntikan dalam kumpulan pertama, bagaimanapun keadaan itu belum ditentukan lagi namun saya sudah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan gimik Perasmian Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (SMKTM) Port Dickson di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar, di sini, petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Datuk Lee Tian Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Ho Kong Soon, Yang Dipertua Persatuan

Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKTM P Balan serta Pengetua SMKTM Razali Taib.

Mengulas lanjut sama ada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu termasuk antara kumpulan penerima awal vaksin berkenaan, Aminuddin berkata, keadaan itu juga belum ditetapkan.

Beliau berkata, terdapat kalangan Ahli Parlimen dan Adun yang menarik diri daripada mendaftar awal kerana mereka ingin melihat keberkesanan vaksin berkenaan terlebih dahulu.

“Saya berharap semua peringkat masyarakat di Negeri Sembilan bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama ini kerana ia penting untuk kesihatan dan menyekat penularan wabak ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menghargai sokongan Matrix Concepts yang membantu membina dewan sekolah SMKTM berharga RM1.2 juta, walaupun sekolah itu terletak dalam kawasan estet dan di luar bandar.

Katanya, pihaknya percaya dewan dilengkapi dengan kemudahan gelanggang badminton, pentas, bilik persalinan dan siaraya itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya warga sekolah serta masyarakat sekitar.

“Saya percaya Dewan Legasi ini juga menjadi kebanggaan pelajar SMKTM untuk menggunakannya dengan baik bagi membantu membina kecemerlangan sekolah, sama ada dalam bidang korikulum dan kokurikulum,” katanya

HM

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) telah membangunkan Sistem Robot Penghantaran Hospital sebagai usaha membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Robot itu yang diberi nama ‘Makcik Kiah 19’ (MCK19) adalah Robot Penghantaran Pertama Buatan Malaysia untuk hospital bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit Covid-19.

Menurut UTM dalam kenyataan hari ini, projek itu dimulakan pada permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diketuai pengasas bersama DF, Profesor Madya Dr Yeong Che Fai daripada Kajian Kejuruteraan Elektrikal, UTM.

“MCK19 menggunakan Zalpha, robot komersial DF yang berupaya menampung berat sehingga 300kg atas raknya dan mampu melakukan navigasi secara automatik untuk membantu doktor dan jururawat dalam menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.

“Penggunaan robot ini iaitu MCK19 akan mengurangkan pendedahan profesional dan petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan kepada pesakit dalam pemantauan (PUI) yang berisiko tinggi dijangkiti dan perlu diasingkan.

“Sehubungan itu, ia juga akan mengurangkan keperluan kepada PPE (Alat Pelindung Diri) berikutan hospital-hospital di peringkat global kini mengalami kekurangan bekalan,” kata UTM.

UTM berkata, projek itu mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pasukan itu mengambil masa kurang daripada dua minggu untuk membangunkan prototaip.

“MCK19 djangka diuji di HCTM pada akhir minggu ini. Sekiranya robot ini didapati boleh digunakan, DF komited untuk mengeluarkan robot itu secara besar-besaran untuk dibekalkan ke hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukannya.

“Untuk jangka panjang, pasukan itu merancang untuk mengeluarkan robot yang mempunyai rekaan yang lebih mirip manusia dan mesra manusia,” katanya.

Sementara itu, Che Fai berkata, DF menawarkan penyelesaian robotik kepada industri sejak 2012 dan percaya ia dapat membantu dalam menjalankan banyak tugas bagi mengurangkan kehadiran manusia seperti perkhidmatan penghantaran, disinfeksi, pembersihan, pemantauan dan perkhidmatan lain.

“MCK19 akan menjadi ujian perintis pertama kami, jika robot ini berfungsi dengan baik, kami akan teruskan dengan aplikasi lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Canselor Tuanku (HCTM), UKM, Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama itu.

“Bagi pihak HCTM (UKM), saya berasa amat gembira dapat bekerjasama dengan MOSTI dan pasukan daripada UTM dan DF untuk membangunkan robot penghantaran hospital ini, yang pertama di Malaysia.

“Ini adalah buat julung kalinya akan digunakan khusus untuk membantu sistem penjagaan kesihatan yang terbeban semasa pandemik dan wabak ini. Saya menjangkakan robotik dan automasi akan memainkan peranan penting di hospital dalam waktu terdekat untuk meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.

Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, penciptaan robot itu merupakan satu lagi usaha UTM untuk membantu memerangi virus itu, selaras dengan inisiatif universiti untuk menyejahterakan kehidupan. – Bernama

SH

//dopansearor.com/4/2458908