Tag Archive : Polis

/ Polis

Polis selamatkan amah Kemboja mangsa dera

February 25, 2021 | News | No Comments

Bukit Mertajam: Polis menyelamatkan seorang pembantu rumah wanita warga Kemboja yang dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Perpaduan Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan daripada orang awam pada 9.30 malam.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman itu sebelum menemui seorang wanita warga Kemboja berusia 30-an berada di atas lantai dalam sebuah bilik rumah berkenaan.

“Terdapat beberapa kesan kecederaan fizikal di bahagian muka, kesan parut melecur di lengan, luka bekas jahitan, dan beberapa kesan calar di badan dan kaki mangsa.

“Mangsa mengadu didera oleh majikannya (isteri) termasuk dengan cara dipukul, disimbah air panas, dicubit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa memaklumkan bahawa dia sudah dua tahun bekerja dengan suami isteri terbabit.

“Mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

“Susulan daripada insiden ini, suami isteri masing-masing berusia 50-an dan 60-an ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

hmetro

BUTTERWORTH – Polis menafikan dakwaan bertindak kasar dan sengaja menggari seorang wanita warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran menjual dim sum di Jalan Raja Uda di sini dalam Ops Bersepadu Khas Rabu lalu.

Sebaliknya tindakan itu terpaksa dibuat selepas wanita berusia 46 tahun terbabit bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, video yang tular di media sosial sejak Sabtu itu kononnya pihak polis bertindak kasar terhadap wanita itu sebenarnya disalah tafsir sehingga mengundang kecaman warga net.

Menurutnya, semasa proses menahannya, wanita itu bertindak agresif dengan menjerit ke arah polis malah cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

“Wanita Indonesia itu pada mulanya melarikan diri ketika serbuan di restoran tersebut namun berjaya ditahan penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang mengejarnya kira-kira 100 meter dan dibawa semula ke premis tempatnya bekerja namun dia meronta-ronta termasuk membaling apron dipakainya ke arah polis.

“Ketika diminta memberi kerjasama dia bertindak cuba melarikan diri sekali lagi termasuk merempuh polis serta penguatkuasa yang berada di situ, sebab itu kami menggarinya, namun tidak berlaku sebarang kekerasan ke atasnya sebaliknya semua mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noorzainy berkata, Ops Bersepadu Khas itu dijalankan dengan kerjasama MBSP, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kawasan terbuka serta terdapat pelanggan lain di restoran tersebut semasa kejadian berkenaan.

Katanya, adalah mustahil pihak polis boleh bertindak kasar seperti didakwa pihak yang memuat naik video semasa insiden itu.

Beliau berkata, selain wanita itu, polis turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 36 yang juga rakan sekerja wanita tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri serta lelaki tempatan berumur 29 tahun yang merupakan majikan mereka untuk siasatan lanjut.

-sinarharian

Polis periksa individu jalani kuarantin di rumah

February 5, 2021 | News | No Comments

Polis memeriksa antara 200 hingga 300 individu yang menjalani kuarantin di rumah setiap hari menerusi Ops Kuarantin di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pemeriksaan itu dijalankan oleh pasukan JSJ Selangor menerusi 16 daerah di seluruh Selangor.

“Polis ada menerima senarai individu yang diarahkan untuk menjalankan kuarantin di rumah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana pengawasan ini tertakluk mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“JSJ Selangor melawat individu ini di rumah masing-masing, setiap ibu pejabat daerah polis di Selangor ada pasukan khas yang menerima senarai dan melawat dari rumah ke rumah dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Setiap hari, kita akan melawat tidak kurang 200 hingga 300 rumah individu, polis akan minta mereka tunjukkan pengenalan diri.

“Sekiranya mereka tiada di rumah, ia menjadi kesalahan maka satu laporan polis akan dibuat dan siasatan akan dijalankan,” katanya dalam sidang media menerusi Google Meet di sini, semalam.

Fadzil berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu sehingga semalam, pihaknya membuka 36 kertas siasatan kerana melanggar arahan kuarantin.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jadi, saya menasihatkan mana-mana individu yang diberikan arahan kuarantin di Selangor agar mematuhi arahan dan berada di alamat kuarantin masing-masing, jangan keluar ke sana sini,” katanya.

HM

Memang ada tembakan

February 3, 2021 | News | No Comments

Kota Tinggi: Polis mengesahkan berlaku insiden tembakan dilepaskan dalam kejadian di Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, siasatan masih dijalankan berhubung insiden itu.

“Laporan ada diterima. Kes membabitkan kumpulan curi kenderaan.

“Polis lepaskan tembakan ke arah bahagian tayar kereta apabila penjenayah cuba melanggar anggota yang hendak menahan suspek.

“Tiada tembakan balas dilakukan oleh suspek. Tiada kecederaan serius dialami oleh suspek ketika ditahan polis. Siasatan masih dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular gambar berhubung insiden berkenaan di laman sosial mendakwa berlaku kejadian insiden tembak-menembak antara polis dengan penjenayah di lokasi berkenaan.

hmetro

Maafkan dia…

January 25, 2021 | News | No Comments

Penampang: Polis menahan seorang wanita selepas merosakkan beberapa kenderaan di kawasan parkir di hadapan Plaza 333 di sini, semalam.

Wanita terbabit didakwa menggunakan batang paip untuk memukul beberapa kenderaan yang parkir.

Orang awam yang melihat kejadian itu kemudiannya menahannya sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang tiba.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.42 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai tidak siuman.

“Wanita itu sudah dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, tiga individu dipercayai pemilik kereta sudah dikenal pasti dan dua daripadanya sudah membuat laporan polis.

“Hasil daripada rakaman percakapan semua mangsa, mereka tidak mahu meneruskan tindakan kerana wanita itu kurang siuman.

“Mereka membuat laporan untuk tujuan tuntutan insuran sahaja,” katanya.

hmetro

Polis tiada kuasa batal kompaun ingkar SOP

January 19, 2021 | News | No Comments

Polis tidak mempuyai kuasa untuk membatalkan kompaun yang dikeluarkan terhadap individu yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergrakan (PKP) dalam usaha mencegah pandemik Covid-19.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bidang kuasa untuk pembatalan kompaun itu termasuk rayuan tertakluk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Pegawai Kesihatan Daerah.

Beliau berkata, polis mahupun agensi lain hanya diberi kuasa mengeluarkan kompaun pelanggaran SOP berkenaan melalui Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Jika terdapat individu tidak berpuas hati apabila dikompaun umpamanya kerana mendakwa tidak melakukan kesalahan, mereka boleh membuat rayuan di PKD. Kuasa menentukan sama ada individu itu bersalah atau sebaliknya terletak pada PKD serta mahkamah.

“Jika masih tidak berpuas hati dengan keputusan PKD, PKD berkuasa untuk mengeluarkan suatu tarikh kepada individu berkenaan supaya hadir ke mahkamah dan boleh menuntut agar perbicaraan diadakan,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan netizen kononnya polis boleh membatalkan kompaun mengikut Akta 342 yang dikeluarkan atas budi bicara sendiri.

Ia susulan hantaran tular di media sosial mengenai kompaun yang dikeluarkan oleh Balai Polis Tambun di Ipoh terhadap seorang pekerja kedai makan di Tambun yang tidak memakai pelitup muka dengan betul dalam operasi di premis itu yang mahu ditutup selain ketiadaan pelanggan di waktu itu.

Katanya, berikutan itu polis menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai perkara yang dikongsi melalui media sosial selain memanjangkan isu terbabit tanpa mengetahui perkara sebenar.

HM

Tiga suspek ditangkap disyaki bunuh rakan samun

January 15, 2021 | News | No Comments

MELAKA – Tiga lelaki ditahan berhubung penemuan mayat di tempat duduk belakang sebuah kereta dipercayai berkaitan kes samun di sebuah kedai serbaneka pada awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, lelaki berusia 38 tahun berkenaan dipercayai dibunuh dan mayatnya ditemukan orang awam dalam sebuah kereta jenis Proton Perdana di parkir Rumah Pangsa Batu Berendam di sini pada 7 Januari lalu.

Menurut Abdul Majid, mayat mangsa diletakkan dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta milik isterinya selepas mangsa dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah milik suspek utama.

Menurutnya, ekoran penemuan mayat itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek pertama berusia 39 tahun kira-kira jam 10 malam di rumahnya di rumah pangsa berkenaan pada hari sama.

“Semasa ditahan dia didapati positif dadah dan mengaku dua rakan sejenayahnya yang lain terlibat dalam kes pembunuhan tersebut. Kemudian dua lelaki berusia 34 dan 32 tahun diberkas di Ipoh.

Polis menemukan kesan darah di rumah suspek pertama di rumah pangsa Batu Berendam.
“Motif awal pergaduhan dipercayai disebabkan tidak puas hati selepas mereka menyamun kedai serbaneka di Kota Laksmana pada 4 Januari lalu,” katanya ketika sidang akhbar di IPK, Bukit Beruang, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat hentakan kuat di kepala serta mempunyai kesan tikaman di perut dan leher.

“Kita percaya mangsa dibunuh di rumah suspek pertama di pangsapuri berkenaan kerana terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan. Mayatnya diangkat dan diletakkan ke dalam kereta milik isteri mangsa,” katanya.

Tambah beliau, dalam tangkapan tersebut pihaknya turut merampas beberapa senjata seperti parang dipercayai digunakan oleh suspek dalam pembunuhan tersebut.

Menurutnya, dalam pada itu pemeriksaan rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka mendapati kesemua suspek terlibat dan mereka dipercayai aktif melakukan jenayah sejak dua bulan lalu dengan modus operandi membawa satu parang panjang ke kaunter sebelum membuat ugutan.

“Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

-sinarharian

Pelajar sekolah merempit dicekup polis

January 12, 2021 | Viral | No Comments

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar sekolah antara lima yang dicekup polis kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada awal pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, Ops Samseng Jalanan oleh sepasukan anggota Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur dilakukan kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, operasi itu mendapati penunggang berusia 16 hingga 23 tahun terbabit telah melakukan aksi ‘wheelie’, ‘superman’, ‘zig-zag’ dan menundukkan kepala.

“Semakan mendapati salah seorang penunggang terbabit masih bersekolah dan berusia 16 tahun manakala yang lain ada yang tidak bekerja selain bekerja sendiri.

“Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan ke atas semua tangkapan adalah tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang tidak mempunyai cermin sisi serta lampu belakang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, kesemua motosikal itu didapati sudah diubah suai dengan menggunakan ekzos yang bising, tayar bersaiz kecil serta nombor pendaftaran yang kecil.

Katanya, remaja berkenaan juga mengaku tindakan mereka mengubah suai motosikal kerana mahu meningkatkan kelajuan.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

-sinarharian

Polis gempur dua pusat hiburan langgar PKPP

January 5, 2021 | News | No Comments

Langkawi: Taktik dua pusat hiburan di Pekan Kuah, di sini, yang menggunakan pintu belakang untuk beroperasi secara haram berakhir apabila diserbu polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Serbuan dilakukan pada 2 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, seramai 30 individu membabitkan 25 lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 58 tahun ditahan untuk siasatan.

Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat melakukan serbuan ke atas dua premis itu dan menahan kesemua individu berkenaan yang sedang berhibur.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengunjung yang datang ke pusat hiburan itu tidak mengamalkan penjarakan sosial dan melanggar prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan ketika PKPP ini.

“Malah, seramai 19 daripada 30 pengunjung turut didapati positif dadah berdasarkan saringan ujian air kencing yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pusat hiburan terbabit dipercayai menggunakan modus operandi sama iaitu membuka bahagian belakang premis, manakala bahagian depan ditutup bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua mereka dikompaun RM1,000 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (2020), manakala 19 individu yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala, pemilik premis diambil tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah 1997,” katanya.

hmetro

Pihak polis memberi amaran kepada mana-mana penunggang basikal terutamanya kepada seorang wanita yang didapati berbasikal sambil mendukung anak di belakang badannya

Perbuatan itu bukan sahaja mengundang risiko keselamatan, bahkan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku kemalangan.

Menurut laporan, itu reaksi diberi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias mengenai satu gambar wanita itu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Azisman mengakui aktiviti berbasikal menjadi trend ketika ini, namun tidak semua memandang serius mengenai peraturan, undang-undang dan keselamatan di jalan raya.

Menyelar tindakan wanita yang membawa anak kecil ketika berbasikal itu kerana ia mendatangkan risiko keselamatan diri serta anaknya

“Cara berbasikal juga tidak mengikut peraturan jalan raya ditetapkan apabila tidak berada dalam satu barisan serta menyusahkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Tambah Azisman, kesalahan menunggang basikal secara berbahaya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya lagi, sekiranya berlaku kemalangan dan mendatangkan mudarat kepada anak yang dibawa ketika melakukan aktiviti itu, mereka boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian.

Oleh itu, beliau menyeru orang awam supaya mengikut peraturan jalan raya dan menghindarkan diri daripada melakukan aktiviti berbasikal yang boleh membahayakan keselamatan.

Dalam pada itu, tinjauan ruangan komen pada gambar itu di Facebook mengundang pelbagai reaksi netizen dan rata-ratanya turut mengecam tindakan wanita berkenaan.

SAYS

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908