Tag Archive : PPR

/ PPR

Remaja maut jatuh bangunan

March 8, 2021 | News, Viral | No Comments

Remaja lelaki meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan di kawasan pejalan kaki di Program Perumahan Rakyat (PPR) Jinjang Utara, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4 pagi hari ini.

“Ketika ditemui, mangsa yang berusia 17 tahun berada dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak di laluan pejalan kaki di bawah PPR terbabit.

“Hasil pemeriksaan dilakukan terhadap ke tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan cedera pada kepala mangsa.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Selayang pada 4.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, siasatan awal dilakukan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam insiden berkenaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-hmetro

Pusat Internet untuk kegunaan lebih 150 murid 3 PPR

February 10, 2021 | News | No Comments

Lebih 150 murid daripada keluarga B40 di tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi akan dapat mengikuti

pembelajaran dalam talian menerusi pewujudan Pusat Internet Harapan Rakyat (PIHR).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, ia membabitkan PPR Taman Jasmin, PPR Taman Senawang Jaya 1 dan PPR Perdana Paroi semalam.

Menurut beliau, projek itu dibuat dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM).

“PIHR di PPR Taman Jasmin akan dibuka minggu hadapan kerana prasarananya sudah lengkap manakala dua lokasi lain akan menyusul kerana ia perlu dinaik taraf oleh TM.

“Dengan bantuan jawatankuasa penduduk, kita akan sediakan jadual bagi membolehkan kehadiran murid dalam keadaan terkawal bagi satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada anak-anak kariah DUN Paroi di Masjid Taman Bandar Baru Senawang di sini, semalam.

Berkaitan peranti disediakan oleh kerajaan negeri kepada murid memerlukan, Mohamad Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi berkata, setiap DUN akan menerima 100 peranti.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan tiada murid yang tercicir daripada mengikuti PdPR,” katanya.

HM

‘Terima kasih rakyat Malaysia bantu kami’

December 28, 2020 | News, Viral | No Comments

Meskipun S Ganesh tidak meraikan Hari Natal, beliau mewakili keluarganya yang terdiri daripada lima beranak mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas kemurahan hati mereka sempena semangat perayaan itu.

Keluarga yang diketuai pengawal keselamatan berusia 34 itu telah kehilangan rumah mereka di Lebuh Carnarvon dalam satu kebakaran pada April lepas.

Ganesh dan isterinya, S Parameswary, 32, serta tiga anak mereka iaitu Girthikanesh, 6, Devi Shri, 3 dan Kirthana yang berusia lapan bulan terpaksa tinggal dalam kereta Proton Saga selama lapan bulan.

Ganesh, yang terpaksa menggunakan tandas awam untuk mandi dan membersihkan diri selama lebih setengah tahun, memaklumkan Bernama bahawa beliau dan keluarganya tidak pernah terfikir untuk berasa begitu gembira apabila dapat berbuat demikian dalam bilik air mereka sendiri selepas menerima kunci sebuah unit kediaman di Flat Rifle Range, Ayer Itam di sini pada 26 Disember lepas.

Beliau melahirkan penghargaan kepada kerajaan Pulau Pinang kerana meluluskan permohonannya untuk menghuni di sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau turut berterima kasih kepada Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) serta pihak media kerana memberikan liputan meluas mengenai nasib yang menimpa keluarganya sehingga menarik perhatian ramai di seluruh negara.

“Akhir sekali, saya tidak mampu menzahirkan dengan kata-kata betapa saya amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah membantu saya dan keluarga ketika kami berdepan dengan kesulitan hidup seperti ini,” katanya yang ditemani Presiden PHA, P Murugiah di kediaman baharu.

Kesulitan hidup keluarga itu telah menarik perhatian ramai pihak termasuk pendakwah bebas, Ebit Lew untuk tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbang pelbagai barangan seperti peralatan elektrik.

Semasa temu bual pada Ahad, keluarga Ganesh disapa oleh sukarelawan pelbagai kumpulan di luar kediaman baharu mereka.

Wakil Komuniti Tzu-Chi Rifle Range iaitu Law Mooi Keow, yang menghulurkan sumbangan tilam dan bantal, berkata pihaknya telah bertemu dengan Ganesh pagi tadi untuk mengetahui apa yang diperlukan keluarga itu.

“Kami memberikan tilam mudah alih, bantal dan selimut supaya mereka senang membawanya apabila memasuki kediaman baharu,” katanya.

Sementara itu, dua sukarelawan kumpulan Facebook ‘Member Live of Mutiara FM’ turut menghulurkan sumbangan berupa barangan makanan dan rempah-ratus kepada keluarga Ganesh.

Ahli kumpulan itu Norafiza Zainudin, 37, berkata, mereka telah berkongsi artikel mengenai Ganesh dan menyeru agar ahli lain menghulurkan sumbangan.

“Kami merancang untuk melakukan satu lagi kutipan sumbangan daripada kumpulan ini dan memberikannya kepada Ganesh bulan depan,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu mempunyai lebih 2,000 ahli.

-sinarharian

//nessainy.net/4/2458908