Tag Archive : PPSR

/ PPSR

PERMATANG PAUH – Seorang guru di Pulau Pinang memuat naik di Facebook lebih 400 muka surat nota dan formula ringkas Matematik untuk membantu murid yang gagal dan mendapat gred rendah bagi subjek itu.

Bagaimanapun, nota ditulis Mohd Rodzi Mat Ghani tersebut menarik minat pengguna terutama suri rumah kerana dapat digunakan golongan itu untuk mengajar anak-anak di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya menulis nota ini menggunakan tulisan tangan sepenuhnya dan saya kongsi di Facebook dengan niat untuk membantu terutama kepada murid yang gagal dan mendapat gred rendah dalam subjek Matematik.

“Semua ilmu itu adalah daripada ALLAH dan saya cuma sebagai penyampai. Saya tidak berniat untuk menjualnya (nota dan formula Matematik),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Guru Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya itu berkata, berikutan formula itu diketahui orang ramai selepas dimuat naik di Facebook, terdapat segelintir ibu bapa meminta supaya nota-nota tersebut dijadikan sebuah buku bagi memudahkan pembelajaran.

“90 peratus kaedah dalam nota tersebut adalah ciptaan saya. Saya mendapat banyak maklum balas daripada suri rumah mengatakan nota tersebut memudahkan mereka mengajar anak-anak di rumah,” katanya.

Terdapat ibu bapa yang mengucapkan terima kasih di atas usaha Mohd Rodzi itu yang memuat naik nota tersebut di laman sosial miliknya.

“Sangat-sangat membantu, terima kasih cikgu. Semoga cikgu dan keluarga dirahmati ALLAH,” komen pengguna Facebook Norhayati Mansor.

Norsuhailiza Subed pula berkata, “Membantu sangat cikgu, tambahan lagi di musim PKP ni nak mengajar anak-anak di rumah,”

-sinarharian

//ashoupsu.com/4/2458908