Tag Archive : pujuk bini

/ pujuk bini

Gara-gara nak pujuk bini!

April 29, 2020 | News | No Comments

Tindakan seorang lelaki ke rumah mertuanya untuk memujuk isteri dengan ditemani dua rakan semalam mengundang padah apabila masing-masing dikenakan hukuman tiga hari penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Hafiz Rizal Aziz, 27, bersama dua kawannya, Muhammad Nasriq Alwi, 22, dan Noor Adam Bukhari Mohamad Anuar, 25, turut berdepan hukuman penjara tambahan sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas kesemua mengaku salah atas pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan secara berasingan.

Mereka mengaku melakukan kesalahan itu dengan bergerak menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi di tepi Jalan Losong Haji Mat Shafie di sini dari Kampung Gong Kiat jam 11.50 malam pada 27 April.

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi Mohamad Hafiz Rizal, dia mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan alasan hendak memujuk isterinya untuk pulang ke rumah kerana berlaku perselisihan faham sebelum ini.

Sementara dua rakannya, Muhammad Nasriq dan Noor Adam Bukhari mengaku melakukan kesalahan itu hanya kerana hendak menemaninya ke rumah mertua.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman lima hari penjara dan denda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda kerana mengaku salah ingkar PKP pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Rosli Mohd Nor, 35, dari Kampung Kubang Parit di sini mengaku bergerak di tepi jalan Durian Burung kira-kira jam 11.30 malam pada 25 April lalu.

Dia mengaku melakukan kesalahan itu kerana dalam perjalanan ke rumah rakannya semata-mata hendak menyerahkan duit hasil menjual dadah sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yuhanis Mohd Roslan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Asaari Salleh.

Terdahulu, Yuhanis memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengambil mudah perintah PKP.

“Selain itu, hukuman itu turut membuktikan ketegasan kita dalam membantu kerajaan menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini daripada berleluasa,” katanya.

Mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman penjara bagi mereka berjalan bermula tarikh masing-masing ditangkap.

SH

//dopansearor.com/4/2458908