Tag Archive : Pulau pinang

/ Pulau pinang

“Anggota menyangka tiga beranak di bawah Jambatan Pulau Pinang adalah nelayan dan ketika mahu bertanya mengenai laporan kes, baru tahu mereka bergelandangan di situ sejak dua bulan lalu.” kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

Menurutnya, simpati dengan keluarga berkenaan, polis membawa mereka tinggal sementara di sebuah unit rumah kosong di Balai Polis Sungai Nibong, di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tiga sekeluarga yang ditemukan di bawah jambatan ketika sedang menyiasat laporan kes pada 20 Oktober lalu.

Soffian berkata, terdahulu polis menerima laporan berhubung kes kenderaan yang dipandu pengguna jalan raya dibaling dengan batu ketika melalui kawasan itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi bagi menyiasat laporan itu, anggota polis bertanya kepada beberapa orang awam termasuk bapa bersama dua anaknya.

“Lelaki berkenaan mengakui menjadikan kawasan jambatan itu sebagai tempat berteduh dan tidak mampu menyewa tempat tinggal.

“Nasib malang itu bermula selepas rumahnya terbakar tahun lalu sebelum terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Soffian berkata, simpati dengan keluarga berkenaan, anggota polis membawa mereka ke Balai Polis Sungai Nibong dan menempatkan sementara di sebuah unit rumah kosong berhampiran.

“Mereka tinggal di situ selama dua hari sebelum ditempatkan di rumah teduhan Anjung Singgah, Lebuh Chulia, di sini.

“Perkara ini adalah biasa bagi semua dan kita perlu saling membantu terutama golongan yang tidak bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, bapa malang berkenaan, Mohd Effendee Md Yusoff, 42, berkata, ketika ditemukan polis pada hari itu, dia tidak bimbang dan memberi maklumat sepenuhnya kepada anggota berkenaan.

Katanya, dia bersama dua anak, Muhammad Alif Maulana, 10, dan Muhammad Arif Maulana, 11, sebelum ini tinggal di sebuah rumah di Jelutong sebelum berlaku kebakaran pada 2020.

Berikutan isterinya pulang ke Indonesia, dia bekerja sebagai buruh kontrak di Johor, Klang, Selangor dan Ipoh, Perak dengan membawa bersama dua anak.

“Sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, saya tidak dapat bekerja dan hanya gunakan wang simpanan yang ada.

“Dua bulan lalu saya ambil keputusan pulang ke Pulau Pinang dan kerana tidak mampu menyewa rumah, kami jadikan bawah jambatan sebagai ‘rumah’.

“Setiap malam saya sukar tidur kerana bimbang dengan keselamatan anak dan serangan ular berbisa,” katanya di sini, hari ini.

Tidak mahu mengalah dengan hidup, Mohd Effendee kini bekerja sebagai nelayan dengan menangkap ikan di sekitar Batu Uban, di sini.

Katanya, rutinnya akan pulang ke Anjung Singgah selepas menangkap ikan dan sedang mengumpul wang bagi menyewa rumah.

“Pendapatan sebagai nelayan sekitar RM500 sebulan, cukuplah bagi kegunaan kami bertiga namun saya juga mahu keluar daripada keadaan ini dan mahu menjalani kehidupan baharu.

“Harapan saya mahu menghantar anak ke sekolah tahfiz supaya mereka dapat mengubah nasib keluarga dan tidak mahu mereka hidup begini,” katanya.

Harian Metro

Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar

February 23, 2021 | News | No Comments

Georgetown: Kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.3 dekat sini, terbakar yang turut menyebabkan kesesakan teruk trafik di kedua-dua hala dalam kejadian petang hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai Mohd Fadzil Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.27 petang sebelum jentera bergegas ke lokasi kebakaran.

“Sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang, namun tiada akses laluan ke lokasi untuk membuat pemadaman dan buat masa ini kami memadam api dari atas (jambatan) dahulu.

Pulau Pinang sedang berusaha untuk ke lokasi terbabit melalui akses lain, kemungkinan menerusi laut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, tinjauan mendapati asap hitam dapat dilihat sejauh kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian, manakala kesesakan pula sepanjang lebih dua kilometer sehingga 5 petang.

hmetro

6 bulan tiada caj hotel di Pulau Pinang

June 26, 2020 | News | No Comments

KERAJAAN Pulau Pinang mengetepikan caj hotel berkuat kuasa 1 Julai hingga 31 Dis selaras dengan kebenaran merentas negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin berkata, ia adalah usaha kerajaan negeri untuk merangsang semula pelancongan dan menyokong industri dalam fasa pemulihan seiring dengan usaha yang dibuat untuk mengekalkan pelbagai sektor dan kumpulan yang terkesan dalam industri.

“Selain pengecualian caj pelancongan di peringkat Persekutuan, sokongan ini akan dapat memacu minat ke arah mengaktifkan semula pelancongan dan menyokong usaha pemulihan pelancongan untuk bulan-bulan mendatang,” katanya dalam kenyataan di Georgetown hari ini.

Beliau berkata, pengecualian enam bulan itu adalah sebahagian daripada pelan pemulihan pelancongan untuk secara berterusan menarik kedatangan pelancong domestik sepanjang bulan akan datang sehingga akhir tahun.

Yeoh juga berkata, pelan pemulihan itu turut disertakan dengan pelbagai usaha promosi dan program insentif pelancongan, yang akan diperkenalkan secara berperingkat.

“Ini adalah sejajar dengan wawasan kerajaan negeri iaitu kami menggalakkan pelancongan yang bertanggungjawab, untuk menjadikan negeri dan negara kita sebuah tempat yang lebih selamat untuk masyarakat dan pelawat,” katanya.

hmetro

Pulau Pinang perlu masa buka semua sektor

May 8, 2020 | News | No Comments

PULAU Pinang memulakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang hari ini sekali gus akan memantau sepenuhnya keadaan semasa sebelum memutuskan bagi membuka semula lebih banyak sektor dan aktiviti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau mendapat banyak pertanyaan bila boleh makan di restoran selain pembukaan kedai gunting rambut.

Namun, katanya, kesemua keputusan itu akan diputuskan sebelum 13 Mei ini.

“Hari ini adalah hari pertama yang mana Pulau Pinang secara beransur-ansur membuka semula ekonominya mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

“Kita nampak sambutan kurang baik daripada pelanggan pusat beli-belah utama dan mungkin kesedaran mereka masih rendah,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat beli-belah dan kawasan perniagaan di Georgetown.


Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang.

Beliau berkata, orang ramai mungkin memerlukan masa bagi membiasakan diri dengan normal baharu.

Menurutnya, bagi peniaga pula, mereka perlu mencari jalan bagi memastikan perniagaan berkekalan lama.

“Kita berada dalam tempoh yang mencabar dan dapat dilihat bahawa ia memerlukan sedikit masa untuk ekonomi pulih semula.

“Kita mahu mencapai keseimbangan antara membuka kembali ekonomi dan mengawal penyebaran wabak Covid-19 sekali gus tidak mahu melihat banyak kes (jangkitan baharu) dilaporkan selepas membuka semula ekonomi.

“Justeru, saya memohon kepada semua supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di bawah strategi ini,” katanya.


Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan tidak akan melaksanakan PKPB pada 4 Mei lalu seperti yang diumumkan kerajaan pusat.

Sebaliknya, negeri berkenaan membuka semula sektor ekonomi menerusi Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 13 Mei depan.

hmetro

//dopansearor.com/4/2458908