Tag Archive : pusat hiburan

/ pusat hiburan

Melancong bukan melencong!

March 29, 2021 | News | No Comments

KONONNYA datang melancong ke negara ini tetapi 24 wanita warga asing didapati melencong dengan bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di negara ini.

Bagaimanapun, tindakan wanita Vietnam, Laos dan Thailand itu berjaya dikesan dalam Op Noda yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, operasi itu diketuai Ketua Unit Pencegahan Maksiat D7 Bukit Aman Deputi Superintendan Redzaimi Abd Hamid.

Menurutnya, operasi bermula 11.30 malam itu turut menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus pusat hiburan, penjaga kaunter, bouncer (penjaga) serta masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Thailand dipercayai pekerja di premis itu.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun bergelar ‘mummy’ yang dipercayai menguruskan persembahan dan penjualan ‘kalungan bunga’ serta tiara antara pelanggan dengan GRO warga asing terbabit.

“Kesemua individu yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 51 tahun manakala GRO warga asing berkenaan terdiri daripada 21 wanita Thailand, dua (Laos) dan seorang dari Vietnam.

“Wanita terbabit didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi bekerja sebagai GRO,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rohaimi, pusat hiburan itu didapati sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan dijaga bouncer serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Kesemua wanita warga asing berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lima lelaki membabitkan tiga lelaki tempatan dan dua warga asing serta ‘mummy’ itu pula ditahan mengikut Peraturan 55(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menggaji serta melindungi warga asing yang tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Menurut Rohaimi, semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan serta tindakan lanjut.

-hmetro

Kilang jadi pusat hiburan diserbu

March 22, 2021 | News | No Comments

Sebuah kilang yang diubah suai menjadi pusat hiburan di Jalan Ding Lik Kong di sini, diserbu polis malam Sabtu menyaksikan sembilan individu ditahan.

Enam lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditahan ketika sedang leka berhibur ketika diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu jam 11.25 malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, premis hiburan itu terletak dalam bangunan kilang dua tingkat dan ketika serbuan dijalankan pagar utama terbuka. Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat bawah premis terbabit menemukan sebuah pintu besi dalam keadaan terbuka.

“Pemeriksaan mendapati bilik berkenaan diubah suai menjadi pusat hiburan lengkap dengan set karaoke, meja, kerusi, lampu dan minuman keras.

“Malah semua yang ditahan sedang berhibur dengan muzik yang kuat ketika serbuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua wanita warga Vietnam berkenaan memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

“Mereka mengaku datang ke situ untuk berhibur memandangkan semua pusat hiburan di Sibu ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 kerana berhibur di premis yang tidak mempunyai lesen hiburan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, mereka turut disiasat atas kesalahan mengikut Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 4) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berhibur di pusat hiburan,” katanya.

Katanya, wanita asing yang tamat pas lawatan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Malaysia 1959/63.

“Kesemua yang ditahan turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital Sibu dan keputusan adalah negatif.

“Semua suspek lelaki direman mulai hari ini manakala suspek wanita direman sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) sehingga 3 April ini,” katanya.

HM

Aktiviti di pusat hiburan merekodkan kesalahan tertinggi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Task Force Operasi Pematuhan dilaksanakan semalam yang membabitkan 144 kesalahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam seramai 442 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 430 dikenakan kompaun manakala 11 direman dan satu dijamin.

Memperincikan lanjut, beliau berkata, antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lapan) dan 51 untuk lain-lain kesalahan.

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 63,822 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP. Sebanyak 3,167 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 14,492 anggota membuat pemantauan di 4,314 pasar raya, 6,217 restoran, 2,578 penjaja, 1,709 kilang, 3,923 bank dan 866 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,417 terminal pengangkutan darat, 527 terminal pengangkutan air serta 223 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, seramai 102 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan empat kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

“Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

“Ia membabitkan Op Penawar sebanyak 392 SJR (ATM, PDRM dan Rela), Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng Aksem (sembilan SJR),” katanya.

Semalam, katanya, sebanyak 94 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan meliputi 32 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

Menurutnya, ia menjadikan secara kumulatifnya, sebanyak 18,123 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon sudah dilakukan sejak 30 Mac lalu.

“Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan. Operasi sanitasi membabitkan 540 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 215 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (42) serta 95 jentera JBPM,” katanya.

Selain itu beliau berkata, mengenai kuarantin wajib, semalam seramai 1,112 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Sejak 24 Julai lalu, katanya, seramai 138,771 individu pulang ke tanah air dan semuanya ditempatkan di 78 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Seramai 7,539 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 130,338 orang dibenarkan pulang manakala 894 lagi dibawa ke hospital. Berkaitan barangan keperluan asas pula, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

“Semalam, KPDNHEP membuat 729 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (534), pemborong (163) dan pengilang (32). KPDNHEP juga melakukan 1,904 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,884 premis mematuhi SOP manakala 20 premis diberi nasihat,” katanya.

HM

Polis serbu pusat hiburan ingkar PKP

February 22, 2021 | Viral | No Comments

PETALING JAYA – Seramai 15 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di kawasan Sea Park, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 10.30 malam.

“Dua individu dipercayai pekerja dan penjaga premis berusia 21 dan 38 tahun telah ditahan kerana ingkar arahan kerajaan dengan membuka premis pusat hiburan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Pemeriksaan lanjut di dalam premis tersebut mendapati seramai sembilan lelaki dan empat wanita warga tempatan berumur 32 hingga 54 tahun dalam keadaan berkumpul dan minum minuman keras,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan (Kawalan Pergerakan 2021).

“Sebanyak 10 botol minuman keras pelbagai jenama dan sejumlah wang tunai lebih kurang RM545 telah dirampas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya.

-sinarharian

Lima pelanggan, pekerja pusat hiburan kena kompaun

February 16, 2021 | News | No Comments

Lima lelaki dikompaun RM1,000 selepas didapati berkumpul serta minum arak dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Dataran Mentari, di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam operasi 1.05 pagi, polis mendapati lima pelanggan berusia 23 hingga 56 tahun sedang berkumpul dan minum minuman keras di dalam premis berkenaan.

“Kami turut menahan dua pekerja premis iaitu seorang lelaki serta seorang wanita masing-masing berusia 32 tahun dan 21 tahun selepas didapati gagal menunjukkan sebarang lesen sah menjual minuman keras.

“Malah, mereka juga didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan membuka pusat hiburan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan, Ahad.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas tujuh botol minuman keras serta wang tunai berjumlah RM560 dalam serbuan itu.

“Semua pelanggan serta dua pekerja premis berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar SOP ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.

“Kami memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan kegagalan mematuhi arahan ini membolehkan mereka dikompaun RM1,000 atau ditahan dan didakwa di mahkamah,” katanya.

HM

Ingkar PKP: 203 orang ditahan di pusat hiburan

January 12, 2021 | News | No Comments

Berhibur di pusat hiburan menjadi kesalahan tertinggi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang direkodkan pada Sabtu, apabila seramai 203 orang ditahan atas kesalahan itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, secara keseluruhan, 528 individu ditahan pada Sabtu manakala tiga direman dengan kesalahan lain termasuk tidak memakai pelitup muka (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (101), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (73) dan lain-lain (2).

Dalam kenyataan mengenai PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad, beliau berkata, pihak berkuasa turut menahan 38 pendatang asing tanpa izin serta merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng pada Sabtu.

Sementara itu, sejak 24 Julai 2020 hingga 9 Januari 2021, seramai 101,163 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 7,892 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

-sinarharian

Polis gempur dua pusat hiburan langgar PKPP

January 5, 2021 | News | No Comments

Langkawi: Taktik dua pusat hiburan di Pekan Kuah, di sini, yang menggunakan pintu belakang untuk beroperasi secara haram berakhir apabila diserbu polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Serbuan dilakukan pada 2 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, seramai 30 individu membabitkan 25 lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 58 tahun ditahan untuk siasatan.

Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat melakukan serbuan ke atas dua premis itu dan menahan kesemua individu berkenaan yang sedang berhibur.

“Hasil pemeriksaan mendapati pengunjung yang datang ke pusat hiburan itu tidak mengamalkan penjarakan sosial dan melanggar prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan ketika PKPP ini.

“Malah, seramai 19 daripada 30 pengunjung turut didapati positif dadah berdasarkan saringan ujian air kencing yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pusat hiburan terbabit dipercayai menggunakan modus operandi sama iaitu membuka bahagian belakang premis, manakala bahagian depan ditutup bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kesemua mereka dikompaun RM1,000 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (2020), manakala 19 individu yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala, pemilik premis diambil tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah 1997,” katanya.

hmetro

Aktiviti di pusat hiburan tertinggi ingkar PKP

December 28, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: Melakukan aktiviti di pusat hiburan masih mencatatkan jumlah tertinggi individu yang ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Daripada 456 individu yang ditahan, seramai 170 orang dikesan melakukan kesalahan itu di pusat hiburan.

Ia diikuti kesalahan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dengan 167 orang, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (67), tidak memakai pelitup muka (45) dan lain-lain (7).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah keseluruhan ingkar PKP itu, seramai 421 individu dikenakan kompaun, 34 orang pula direman dan seorang dijamin.

Bagi Op Benteng pula, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 57 pendatang tanpa izin (PATI) serta merampas tiga kenderaan bagi tempoh yang sama.

“Sebanyak 114 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan semalam membabitkan Op Penawar membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Benteng PDRM dan Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus.

Katanya, PDRM juga membuat sebanyak 43,077 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 2,349 pasukan pematuhan membabitkan 10,093 anggota membuat pemantauan di 3,295 pasar raya, restoran (4,528) restoran, penjaja (1,457), kilang (1,082), bank (3,118) dan 458 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 966 terminal pengangkutan darat, 231 terminal pengangkutan air serta 91 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 13,074 premis sudah disanitasi merangkumi 137 zon.

Sebanyak 14,726 premis disanitasi terdiri daripada 2,938 pusat perniagaan, 1,694 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,944 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,793 bangunan kerajaan.

Ismail berkata, sebanyak 19 operasi sanitasi meliputi tujuh Zon Merah, dua Zon Jingga, lima Zon Kuning dan dua Zon Hijau membabitkan sembilan negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor.

Selain itu, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 93,070 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka itu ditempatkan di 75 hotel dan 17 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,125 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

hmetro

Seramai 230 individu dikompaun semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti di pusat hiburan merekodkan antara kompaun tertinggi iaitu 71 individu.

“Seramai 76 individu pula dikompaun kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka (41), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (37) dan lain-lain (5),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 111 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas lima kenderaan berat bagi mengekang kemasukan Pati terutamanya di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

Menurutnya, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 90,536 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 77 hotel dan 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,574 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 535 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 82,427 individu discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

HM

//chooxaur.com/4/2458908