Tag Archive : Semua sektor

/ Semua sektor

Pulau Pinang perlu masa buka semua sektor

May 8, 2020 | News | No Comments

PULAU Pinang memulakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang hari ini sekali gus akan memantau sepenuhnya keadaan semasa sebelum memutuskan bagi membuka semula lebih banyak sektor dan aktiviti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau mendapat banyak pertanyaan bila boleh makan di restoran selain pembukaan kedai gunting rambut.

Namun, katanya, kesemua keputusan itu akan diputuskan sebelum 13 Mei ini.

“Hari ini adalah hari pertama yang mana Pulau Pinang secara beransur-ansur membuka semula ekonominya mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

“Kita nampak sambutan kurang baik daripada pelanggan pusat beli-belah utama dan mungkin kesedaran mereka masih rendah,” katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat beli-belah dan kawasan perniagaan di Georgetown.


Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang.

Beliau berkata, orang ramai mungkin memerlukan masa bagi membiasakan diri dengan normal baharu.

Menurutnya, bagi peniaga pula, mereka perlu mencari jalan bagi memastikan perniagaan berkekalan lama.

“Kita berada dalam tempoh yang mencabar dan dapat dilihat bahawa ia memerlukan sedikit masa untuk ekonomi pulih semula.

“Kita mahu mencapai keseimbangan antara membuka kembali ekonomi dan mengawal penyebaran wabak Covid-19 sekali gus tidak mahu melihat banyak kes (jangkitan baharu) dilaporkan selepas membuka semula ekonomi.

“Justeru, saya memohon kepada semua supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di bawah strategi ini,” katanya.


Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memaklumkan tidak akan melaksanakan PKPB pada 4 Mei lalu seperti yang diumumkan kerajaan pusat.

Sebaliknya, negeri berkenaan membuka semula sektor ekonomi menerusi Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 13 Mei depan.

hmetro

//mauchopt.net/4/2458908