Tag Archive : SPRM

/ SPRM

Kuala Lumpur: Polis berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat berkongsi semua maklumat berkaitan sindiket penipuan Macau Scam dan perjudian dalam talian membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkongsian maklumat itu penting supaya pihaknya dapat mengambil tindakan yang tepat dan adil kepada pegawai serta anggota polis yang bersekongkol dengan sindiket terbabit.

Menurutnya, kes ini agak rumit kerana ia datang dari SPRM yang mana ditangkap dan diambil tindakan oleh SPRM sebelum diserah kepada polis.

“Jadi saya adalah autoriti nombor dua yang menyiasat perkara itu dan berharap SPRM berkongsi segala yang mereka ada untuk polis buat keputusan tepat dan adil.

“Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan bersidang yang mana keputusannya sama ada dibuang kerja, turun pangkat atau lain-lain yang difikir adil dan setimpal oleh SPP,” katanya selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas 31 pegawai dan anggota polis yang dikenal pasti terbabit dalam sindiket bakal berdepan hukuman berat termasuk dibuang kerja.

Pada Disember lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna.

Terdahulu Harian Metro semalam melaporkan seramai 31 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket Macau Scam dan kegiatan perjudian dalam talian bakal berdepan hukuman berat tidak lama lagi.

Abdul Hamid dipetik berkata, proses bagi menjatuhkan hukuman ke atas mereka sudah dibawa ke pihak Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan seterusnya.

hmetro

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dokumen palsu bagi mengeluarkan sijil lahir.

Individu yang dikehendaki itu dikenali Joh Len Santi Apin, 34, beralamat di University Condo Apartmen, Jalan Kampung Dambai, Manggatal.

Selain itu, lelaki terbabit turut mempunyai alamat tempat tinggal lain di Kampung Vinilai, Kudat.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan SPRM, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan lelaki ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Norsham Saharom di talian 089-668739 atau 012- 867 7087.

hmetro

Kuala Lumpur: Lima lagi selebriti termasuk seorang wanita terdiri daripada pelakon, penyanyi serta pengacara tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa, semua selebriti terbabit tampil membantu siasatan berhubung kes berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan atau maklumat mengenai aktiviti ‘cuci duit’ didalangi Alvin Goh dan orang kanannya, Addy Kana hasil menjalankan kegiatan haram itu.

“Hari ini, lima selebriti membabitkan empat lelaki dan seorang wanita tampil memberi keterangan berhubung kes itu. Mereka adalah pengacara, pelakon dan penyanyi.


“Setakat ini, sudah beberapa selebriti tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit,” katanya yang enggan mendedahkan identiti lima selebriti berkenaan ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan artis serta selebriti disyaki terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram Macau Scam enggan tampil membantu siasatan walaupun masa dan peluang sudah diberikan.
Sumber berkata, walaupun sebelum ini SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian.
Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.
Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

hmetro

//soaheeme.net/4/2458908