Tag Archive : Tiga anak

/ Tiga anak

Layan tiga anak conteng dinding rumah

February 24, 2021 | News | No Comments

Kuala Lumpur:Kelakuan anak-anak menconteng dinding di rumah kebiasaannya tidak disenangi ibu bapa.

Namun berbeza bagi bapa tiga anak, Muhammad Haffiz Yaakop, 37, yang memberi lampu hijau kepada anak-anaknya menghasilkan contengan di dinding.

Dia yang bekerja sebagai Juruteknik Pengeluaran di sebuah kilang berkata, rutin anak-anaknya menconteng dinding itu bukanlah dianggap satu masalah sebaliknya mengabadikannya sebagai suatu memori keluarga.

“Rumah yang saya beli ini juga dinamakan ‘Rumah Iepa’ sempena anak sulung, Intan Nur Hanifah, 10, maka saya biarkan saja dia dan adik-adiknya menconteng.

“Tetamu datang juga seronok melihat kesan contengan yang dibuat anak-anak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia dan isteri, Intan Hanina Mohd Sirat, 38, tidak menganggap contengan anak-anaknya itu sebagai musibah.

“Kelakuan anak-anak itu tidak bermaksud kami gagal mendidik dan tidak pulak memberi kebebasan mutlak kepada mereka.

“Kebiasaannya kami akan turut serta setiap aktiviti yang mereka lakukan seperti bermain permainan video atau melayari media sosial.

“Dengan cara ini, secara tidak langsung kami dapat memantau aktiviti harian anak-anak,” katanya yang menetap di Labu, Negeri Sembilan.

Muhammad Haffiz bersama keluarganya. FOTO ihsan pembaca

Bercerita lanjut, Muhammad Haffiz berkata, contengan pertama dibuat anak sulungnya sejak usia tiga tahun lagi.

“Saya ada rekod contengan pertama kakak sulungnya di dapur, saya fikir waktu itu sikit saja dan masih awal lagi.

“Apabila adik-adiknya, Muhammad Nur Hanif, 7, dan Intan Nurhana Muhamad Haffiz, 6, meningkat usia, tidak sangka mereka pula sambung ‘legasi’ kakaknya.

“Mula-mula sikit saja, lama-kelamaan saya menjadi seorang bapa yang lebih penyabar,” katanya.

Muhammad Haffiz juga sering membuat perkongsian mengenai aktiviti bersama keluarganya di Facebook, Youtube dan Instagram.

“Banyak aktiviti kami anak-beranak lakukan bersama, tujuannya saya mahu anak-anak menganggap saya sebagi kawan dan tidak kekok untuk meluahkan sesuatu.

“Saya juga muat naik kebanyakan aktiviti kami di media sosial supaya ia menjadi kisah hidup kami secara tidak langsung video dan gambar itu menjadi ‘back up’ data supaya kami dapat tonton di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Haffiz memuat naik beberapa bahagian contengan dinding yang dilakukan tiga orang anaknya di Facebook sehingga mendapat pelbagai reaksi warganet.

hmetro

Hilang tiga anak serentak

December 17, 2020 | News | No Comments

Ipoh: Polis mengenalpasti identiti tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua lori di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa yang maut ialah Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafis, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1.

Katanya, ibu mangsa, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah manakala dua pemandu treler dan lori tidak mengalami kecederaan.

Mohamed Nordin berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kemalangan yang membabitkan treler, lori dan Perodua Axia pada jam 3.50 petang.

Katanya, kemalangan pertama berlaku di antara dua treler di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang.

“Pihak PLUS yang datang meronda di lokasi kemalangan memberi bantuan serta kawalan lalu-lintas dan tiba-tiba datang Perodua Axia dari arah sama di lorong kanan lalu hilang kawalan dan berpusing melanggar di belakang treler membawa muatan elektronik yang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Pulau Pinang.

“Keempat-empat mangsa tersepit, ibu cedera parah manakala tiga anak lelakinya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya sambil memaklumkan ibu mangsa masih dirawat di wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurutnya, punca kemalangan berpunca daripada Perodua Axia terbabas sendiri lalu melanggar belakang treler yang berada di lorong kecemasan.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan pada jam kira-kira 3 petang esok.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

hmetro

//dooloust.net/4/2458908