Tag Archive : ubat-ubatan

/ ubat-ubatan

Permintaan tinggi dalam kalangan pengguna di Malaysia dan seluruh dunia ekoran wabak Covid-19 telah menyebabkan berlaku peningkatan penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan palsu dalam talian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan wabak itu telah memberi peluang kepada penjenayah siber untuk mengambil kesempatan berdasarkan permintaan tinggi untuk produk kesihatan dan perlindungan diri.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac sehingga 20 April lepas, sebanyak 38 aduan berkenaan ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang didakwa boleh digunakan untuk merawat Covid-19 telah diterima pihaknya.

“Sejumlah 182 pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan Covid-19 telah disaring dan disekat manakala 556 notifikasi dikeluarkan kepada platform e-marketplace bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia telah terlibat dalam Operasi Pangea XIII yang merupakan satu tindakan kolektif peringkat antarabangsa terhadap penjualan ubat-ubatan dan produk perubatan yang dijual secara haram dari 3 hingga 10 Mac lepas.

Operasi Pangea XIII telah diselaraskan oleh polis antarabangsa (Interpol) dengan penglibatan polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan dari 90 negara.

Dalam operasi antarabangsa ini penutup mulut dan hidung, pensanitasi tangan yang tidak menepati piawaian, ubat antivirus yang tidak sah dan ubat-ubatan yang berbahaya bernilai lebih dari AS$14 juta (RM60.8 juta) telah disita dan dirampas selain 2,000 pautan dalam talian yang mengiklankan item yang berkaitan dengan Covid-19 turut ditemui.

Operasi kali ini menunjukkan peningkatan sekitar 18 peratus dalam rampasan ubat antivirus tidak sah, dan peningkatan lebih daripada 100 peratus dalam rampasan hydroxychloroquine dan chloroquine yang juga dikaitkan dengan wabak Covid-19.

Menurut Dr Noor Hisham, sepanjang operasi itu di Malaysia, sebanyak 347 laman sesawang peribadi, 360 akaun di laman sosial dan 585 pautan di platform e-marketplace yang didapati menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

“Sebanyak 853 bungkusan pos telah diperiksa. Daripada jumlah itu, 79 bungkusan pos yang didapati mengandungi produk farmaseutikal yang tidak berdaftar telah dirampas.

“Antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah kosmetik yang tidak bernotifikasi dan juga produk kesihatan yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh itu juga, Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya turut merampas 23,278 produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang bernilai RM633,455.60, berikutan serbuan ke atas 50 premis tidak berlesen yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal dalam talian di seluruh negara.

Operasi Pangea di Malaysia telah melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia, pihak kurier dan juga platform e-marketplace

SH

//soaheeme.net/4/2458908