Tag Archive : Vaksin palsu

/ Vaksin palsu

Vaksin palsu dijual RM4,138

March 26, 2021 | News | No Comments

Orang ramai perlu berwaspada dengan tindakan pihak tertentu yang menjual kad vaksin palsu dan vaksin Covid-19 palsu di internet.

Ia ditawarkan pada harga yang murah dan boleh didapati menerusi laman sesawang gelap (dark side).

Penyelidik di firma keselamatan siber, Check Point Software berkata, pihak tertentu di laman web berkenaan menjual vaksin Covid-19 palsu.

Mereka menawarkan vaksin palsu daripada pelbagai jenama seperti AstraZeneca dan Johnson & Johnson, yang dijual pada harga AS$1,000 (RM4,138) untuk satu dos.

Selain itu, Check Point menemui sekurang-kurangnya 20 sijil palsu vaksin Covid-19 di laman jenis sama, yang setiap satu ditawarkan pada harga AS$200 (RM827).

Laman sesawang dark side tidak dapat dikesan enjin carian dan ia lazimnya digunakan oleh penjenayah siber untuk menjual dan membeli bahan terlarang.

Jurucakap Check Point memberitahu CNN Business, produk palsu ditawarkan itu kelihatan seperti asli berdasarkan pembungkusan dan sijil perubatan.

Iklan untuk vaksin palsu di laman sesawang dark web dikatakan meningkat 300 peratus dalam tiga bulan terakhir, menurut laporan itu. – Agensi

Sementara itu, sijil palsu vaksin atau bukti kad palsu vaksin pula ditawarkan untuk cetakan bagi individu yang melakukan tempahan.

Pembeli hanya perlu memberikan nama dan tarikh yang mereka mahukan tertera pada sijil berkenaan.

Ia untuk digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menaiki pesawat, keluar sempadan, memulakan pekerjaan baharu atau aktiviti lain yang memerlukan seseorang memberi bukti sudah menerima imunisasi Covid-19.

Malah, firma itu berkata, produk palsu ditawarkan itu turut mempunyai logo Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Jurucakap Check Point berkata, sindiket berkenaan mampu mengeluarkan ribuan kad vaksinasi palsu berdasarkan permintaan.

Turut dikesan dijual secara berleluasa di pasaran gelap adalah keputusan ujian negatif Covid-19 yang dijual pada harga AS$25 (RM103).

HM

Jual vaksin palsu

December 4, 2020 | News | No Comments

London: Polis Antarabangsa (Interpol) memberi peringatan kepada orang ramai untuk berhati-hati dengan sindiket yang menawarkan vaksin Covid-19 di platform jualan dalam dan luar talian.

The Guardian melaporkan Interpol mengeluarkan amaran notis jingga kepada 194 ahlinya terdiri daripada pihak berkuasa keselamatan seluruh dunia sebagai amaran untuk bersiap sedia dengan sebarang kegiatan jualan vaksin sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Menerusi kenyataannya, Interpol memaklumkan pandemik Covid-19 mendorong sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk melakukan pemalsuan, pencurian dan pengiklanan haram berhubung vaksin.

Badan berpangkalan di Perancis itu juga memohon kerjasama pengendali pengawal selia kesihatan dan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan rantai bekalan dan mengenal pasti laman web haram yang menjual vaksin palsu.

Ia berikutan tempoh pengedaran vaksin Covid-19 di sesetengah negara dalam tempoh terdekat ini.

Ketika pihak berkuasa sedang bersiap sedia untuk melancarkan program vaksinasi berskala besar, kumpulan penjenayah dijangka merancang untuk menyeludup atau mengganggu rantai bekalan.

“Mereka mencari mangsa melalui laman web dan menawarkan vaksin palsu yang mengundang risiko terhadap kesihatan.

“Adalah penting untuk memperketat pemantauan sebagai persiapan membanteras semua jenis kegiatan jenayah yang berkaitan dengan vaksin Covid-19,” kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock.

Agensi itu mengatakan bahawa kumpulan penjenayah juga cenderung untuk memulakan pembuatan dan pengedaran alat ujian Covid-19 palsu.

Ia bagi menyekat usaha syarikat penerbangan dan imigresen yang komited melakukan saringan kesihatan.

Justeru, Interpol memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli peralatan perubatan atau ubat-ubatan dalam talian.

“Bahaya kini bukan hanya datang daripada produk yang berpotensi mengancam nyawa, tetapi juga ancaman siber.

“Analisis jenayah siber sudah mengenal pasti kira-kira 3,000 laman web farmaseutikal dalam talian yang disyaki menjual produk terlarang. Ia menunjukkan bahawa lebih daripada 1,700 daripadanya mengandungi unsur penipuan dan pemalsuan data.

“Penting untuk kita semua berwaspada kerana tawaran seperti itu lazimnya amat menarik perhatian,” katanya.

hmetro

//mauchopt.net/4/2458908