Tag Archive : vaksin

/ vaksin

Cuma tangguh, bukan langsung tak boleh ambil vaksin

February 26, 2021 | News | No Comments

Memikirkan risiko tinggi dijangkiti Covid-19, pastinya wanita hamil dan yang menyusukan anak mahu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai diri daripada ancaman pandemik itu.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka dilarang terus daripada mengambil imunisasi itu kerana dikhuatiri mendatangkan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan dan anak yang sedang menyusu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, yang sebenarnya, buat sementara waktu golongan itu tidak disyorkan mengambil suntikan tersebut kerana ketiadaan data yang mencukupi.

“Tanpa mengira trimester kandungan, mereka tidak disyorkan mengambilnya setakat ini,” katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi.

Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam ruangan soalan lazim yang dikemas kini mengenai vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dikenali sebagai Comirnaty, wanita hamil dan yang menyusukan anak diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika mereka adalah penerima yang sesuai bagi vaksin tersebut.

“Ujian klinikal Vaksin Comirnaty tidak melibatkan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak.

“Memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin ini bagi populasi tersebut, pengesyoran tidak dapat dibuat sehingga maklumat terkini diperoleh,” menurut NPRA.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital KPJ Ampang Puteri Datuk Dr Ashar Abdullah pula berkata bagaimanapun, jika mereka adalah petugas barisan hadapan maka mereka sepatutnya diberikan vaksinasi memandangkan mereka berdepan risiko yang lebih tinggi dijangkiti Covid-19.

“Buat masa ini, yang menjadi masalah ialah tiada data yang cukup untuk menyokong vaksinasi rutin kepada wanita hamil dan yang menyusukan anak… namun dari apa yang saya tahu, tiada risiko tambahan untuk golongan ini, sama seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata, saranan itu hanya untuk menangguhkan pengambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib berkata, keperluan untuk petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil vaksin adalah tinggi tetapi bergantung kepada tempoh kandungan.

Bagaimanapun, pengambilan suntikan untuk petugas barisan hadapan yang hamil tetap perlu membabitkan persetujuan, perbincangan dan rujukan kepada data serta fakta.

“Untuk ibu mengandung yang lain, perbezaan dari segi tempoh kandungan sama ada trimester pertama, kedua atau ketiga juga diambil kira untuk menetapkan bilakah waktu yang sesuai untuk pengambilan vaksin.

“Perbincangan bersama pakar yang terlibat seperti ahli neonatologi, pakar sakit puan serta hospital ibu dan anak tentang keperluan pengambilan vaksin adalah perlu dari segi keselamatan dan risiko setiap seorang kerana faktor kesihatan seseorang dan pekerjaan mungkin berbeza,” katanya.

Niazlin berkata, sekiranya seorang ibu hamil itu tidak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19, misalnya tinggal di kawasan zon hijau dan keluarga tidak bekerja sebagai petugas barisan hadapan, maka keperluan untuk vaksin adalah lebih rendah serta boleh menunggu sehingga persetujuan atau garis panduan dikeluarkan.

Katanya, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan Covid-19.

“Beberapa pertubuhan kesihatan di dunia juga telah menyemak semula kepentingan vaksinasi dalam kalangan mereka kerana mereka dianggap antara yang berisiko apabila menghidapi Covid-19,” katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga berpendapat meskipun pengambilan vaksin itu tidak disyorkan kepada golongan itu, beliau menyarankan agar mereka mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu dan tidak membuat tafsiran sendiri.

“Ibu mengandung secara umumnya tidak boleh ambil tetapi ada pakar berpendapat kalau pada trimester ketiga vaksin boleh diambil kerana pembentukan bayi sudah lengkap… sebab itu, apa jua ubat kita tidak beri ketika tiga bulan pertama.

“Sebab itu kita tidak boleh samakan semua yang mengandung. Adalah lebih baik berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian, itu lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Pfizer telah memulakan ujian klinikal vaksin Covid-19 itu di Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas 4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya.

HM

Orang ramai kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera versi 1.0.28.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 2.43 petang semalam, sekali gus menjadi individu terawal dalam negara menerima vaksin itu.

Sebelum mendaftar bagi menerima vaksin, pengguna iOS dan Android perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera terlebih dahulu dan ikon ‘Covid-19 Vaccination’ yang mengandungi maklumat lengkap mengenai profil peribadi perlu dikemas kini sebelum disahkan.

Setelah maklumat disahkan, pengguna akan diberi beberapa soalan antaranya persetujuan penerimaan vaksin, sejarah penyakit dan sejarah kontak rapat pesakit Covid-19 sebelum permohonan dihantar.

Aplikasi itu turut menyarankan pengguna untuk mengaktifkan notifikasi bagi menerima sebarang info mengenai program vaksinasi yang akan bermula secara berperingkat dan sekiranya terpilih, mereka perlu mengesahkan persetujuan untuk hadir janji temu.

Pengguna terpilih untuk menerima vaksin perlu hadir ke pusat vaksinasi berkenaan dan mengimbas kod QR pusat itu bagi pengesahan kehadiran.

Selepas itu, profil pengguna perlu disahkan mengikut arahan petugas perubatan dan setelah selesai penerimaan vaksin, pengguna perlu mengimbas kod QR vaksin dan mengesahkan proses apabila diarahkan oleh petugas perubatan.

Sebagai tindakan selepas proses vaksinasi, penerima perlu menghantar maklum balas berkaitan simptom yang dialami dalam aplikasi MySejahtera, dan mereka akan menerima sijil digital vaksinasi Covid-19 yang boleh disemak dalam menu profil aplikasi.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera adalah satu daripada lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian adalah melalui laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Fasa pertama pemberian vaksin dijadualkan bermula hari ini hingga April membabitkan anggota barisan hadapan, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU), sementara fasa ketiga bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 – untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.

Malaysia mengadakan perjanjian untuk memperoleh sebanyak 66.7 juta dos vaksin Covid-19 iaitu melalui fasiliti COVAX dan lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino dan Gamaleya.

HM

Ini kerana terdapat banyak permintaan yang mahu dua golongan itu dimasukkan dalam fasa pertama yang akan bermula pada 24 Februari ini.Iklan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa guru berisiko tinggi mengalami kesan negatif daripada jangkitan Covid-19.

“Mereka adalah antara penerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama-sama lebih 200,000 barisan hadapan yang sudah berdaftar untuk menerima vaksin.

“Permintaan terbabit dilihat wajar memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi manakala pengamal media menjadi penyampai maklumat bagi pihak kerajaan terutama menjayakan program imunisasi.

Guru dan pengamal media penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19

“Kami sudah meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyenaraikan golongan guru yang berisiko tinggi untuk diberi vaksin terlebih dahulu dan perkara ini akan dibawa bagi membolehkan keputusan dibuat dalam mesyuarat dengan Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin.

“Kerajaan akan memenuhi keperluan guru dan pengamal media berdasarkan bekalan vaksin bagi fasa pertama ini,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata demikian dalam sidang akhbar sempena acara ketibaan bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diadakan secara maya semalam.

Sementara itu, menurut Dr Radzi Jidin, permohonan KPM supaya kumpulan ini diberi keutamaan dalam fasa pertama disambut baik oleh MOSTI dan KKM. KPM bersama-sama MOSTI dan KKM akan terus memperincikan perkara ini.Iklan

Terdahulu, kumpulan pertama membabitkan 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa menggunakan pesawat khas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Penghantaran kumpulan kedua vaksin berkenaan pula akan diterima pada 26 Februari ini.

Vaksin berkenaan juga akan dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin di seluruh negara melalui kenderaan darat.

-sinarplus

“Untunglah yang sudah dapat vaksin. Dapat pasport bolehlah bebas ke mana-mana” Begitulah agaknya tanggapan orang ramai terhadap hasrat kerajaan untuk mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Mana tidaknya, setelah setahun kita tidak keluar negara, muncul pula berita yang memberikan sedikit kegembiraan buat kita tidak lama lagi.

Namun, adakah dengan kewujudan passport vaksin Covid-19 ini akan memberikan impak positif kepada masyarakat atau sebaliknya?

Menurut laman Facebook Public Health Malaysia, terdapat beberapa impak terhadap kewujudan pasport vaksin dari segi positif dan negatif yang perlu difikirkan oleh kerajaan dalam pelaksanaannya.

Kelebihan ada pasport

  • Kebebasan

Pastinya kelebihan adanya passport ini adalah potensi untuk kebebasan iaitu bebas bergerak, pergi keluar negari/negara.

Malah, ada negara luar yang telah bercadang untuk sesiapa yang mempunyai passport vaksin sebagai pengecualian untuk kuarantin dan swab test.

  • Akses dan peluang.

Bukan sahaja ke luar negara, ianya juga berpotensi untuk seseorang lebih bebas dan mempunyai akses yang lebih baik seperti pekerjaan, program atau aktiviti tertentu.

  • Motivasi dan insentif.

Telah lama kita berada di dalam keadaan tertekan dan tersekat dalam membuat sesuatu perkara mengikut kebebasan kita.

Dengan adanya pasport ini, ianya memberikan motivasi dan harapan kepada kita lebih bebas. Seperti orang yang baru keluar penjara dan ingin memulakan hidup yang baharu.

  • Peningkatan sektor ekonomi dan pelancongan.

Ini dua perkara  yang paling besar dan cuba dibuka oleh kerajaan dari awal pandemik. Dengan skim pasport, kerajaan boleh memberikan pengecualian yang sama kepada pelancong/warga asing seperti mana negara tersebut memberikan keistimewaan kepada pemegang passport vaksin negara kita.

Kekurangan

  • Isu privasi.

Mampu menunjukkan passport atau tidak akan menjadi isu privasi. Ada yang mungkin tidak rasa janggal untuk menunjukkan status kesihatan vaksinnya jika diminta oleh agensi/pegawai.

Namun, bagaimana untuk mereka yang berasa janggal untuk menunjukkannya atau bagi mereka yang tidak mempunyai passport. Isu stigma dan diskriminasi akan muncul selepas itu

  1. Stigma

Stigma akan muncul pada mereka yang belum lagi mendapat vaksin dimana masyarakat mungkin akan memberikan stigma secara langsung ataupun tidak langsung kepada mereka yang belum mendapat vaksin.

  1. Diskriminasi.

Umum mengetahui, kerajaan menyasarkan 70 peratus populasi Malaysia divaksinkan sehingga awal pertama tahun 2022. Pemberian vaksin akan tetap diteruskan selepas itu.

Namun, ini bermaksud terdapat sebilangan ramai yang perlu menunggu pada waktu yang lebih lama dan diskriminasi boleh berlaku kepada mereka yang belum menerima vaksin.

  1. Penipuan pasport.

Kita pernah dengar dahulu, seorang antivaksin cuba mendapatkan tandatangan doktor untuk menunaikan umrah tanpa memvaksinkan diri sendiri dan keluarga.

Perkara sama mungkin akan berulang yang mana mereka samada yang tidak mendapat vaksin atau antivaksin, mungkin berada dalam keadaan terdesak untuk keluar negara atau mengakses sesuatu program/tempat/peluang.

Oleh demikian, menurut Public Health Malaysia lagi, jika kerajaan ingin mewujudkan skim pasport vaksin ini, stigma dan diskriminasi perlulah difikirkan.

Ianya perlu difikirkan sebaik-baiknya agar golongan yang tidak mendapat akses kepada vaksin (bukan penolak vaksin) diberikan perlindungan dan bantuan sebaik-baiknya daripada apa saja bentuk stigma dan diskriminasi.

Selain dari kawalan penyakit berjangkit, kita juga ada kesihatan mental yang perlu aktiviti pencegahan.

Kesimpulannya, kesihatan adalah menyeluruh dan hak asasi manusia. Tiada siapapun terkecuali daripada mendapat akses kesihatan yang baik. Semoga kita benar-benar berjaya untuk melawan pandemik ini dan dunia juga akan bebas Covid-19.

-sinarplus

Stor simpanan vaksin di Senai dikawal ketat

February 22, 2021 | News | No Comments

JOHOR BAHRU – Kumpulan pertama vaksin Covid- 19 Pfizer BioNTech yang dibawa masuk dari Singapura melalui Tambak Johor pada Ahad dihantar ke sebuah stor penyimpanan di Senai.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, stor penyimpanan berkenaan dikawal ketat sebelum vaksin diagihkan ke beberapa hospital di negeri tersebut mulai esok (Isnin).

“Alhamdulillah, kumpulan pertama vaksin Covid- 19 yang dinantikan rakyat sudah tiba pada Ahad.

“Vaksin kumpulan pertama untuk Johor dibawa terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura ke Tambak Johor,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Johor terima vaksin di bawa masuk dari Singapura

Menurut Hasni, beliau turut menyambut ketibaan lori syarikat penghantaran DHL yang membawa vaksin tersebut kira-kira jam 2 petang.

Beliau seterusnya diberikan penerangan ringkas mengenai kawalan keselamatan terhadap vaksin berkenaan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad.

Hadir sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Noh Ibrahim.

-sinarharian

Vaksin diberi percuma bukan komersial

February 19, 2021 | News | No Comments

Hanya kerajaan sahaja yang dibenarkan mengendalikan vaksin Covid-19 yang diberi secara percuma bagi mengelak ia dijual secara komersial.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan juga menjalankan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertujuan mengelak vaksin dijual secara komersial.

Menurutnya, jika ada pihak swasta yang menjual vaksin Covid-19 ia perlu diselidik dahulu kerana dibimbangi hanya memberi ‘normal saline’.

“Lagipun pemberian vaksin ini adalah percuma jadi tidak ada isu ada pihak yang ingin menjualnya tetapi apa yang pihak swasta boleh lakukan membantu kerajaan dalam pemberian vaksin tanpa bayaran.

“Bagaimanapun jika ada penjualan vaksin boleh laporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelak penjualan di pasaran gelap,” katanya pada Sesi Libat Urus Media Darurat Covid-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan, yang diadakan secara maya semalam.

Turut menjadi ahli panel bagi libat urus kali ini ialah Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr P Kalaiarasu; Ketua Sektor (Pakar Perubatan Kesihatan Awam), Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Mohd Hanif Zailani manakala Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM memberi sasaran untuk mencapai 80 peratus penduduk di negara ini menerima vaksin Covid-19.

“Walaupun pengambilan vaksin Covid-19 tidak diwajibkan namun melalui tinjauan dijalankan setakat ini sudah lebih 70 peratus orang bersetuju untuk disuntik vaksin.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada golongan atas pagar membabitkan 15 peratus untuk meyakinkan mereka supaya bersetuju menerima suntikan vaksin,” katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan supaya tidak memfokuskan kepada golongan anti vaksin sebaliknya meyakinkan golongan atas pagar untuk bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19.

HM

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan diterima, sebaliknya ia ditentukan pihak berkuasa kesihatan.

Ia selari dengan dasar kerajaan, iaitu apa-apa vaksin diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat untuk digunakan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata orang ramai tidak diberi peluang memilih jenis vaksin COVID-19 sepanjang program pelalian dilakukan.

“Saya banyak terima persoalan mengenai perkara ini. Anda tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin.

“Sebaliknya, orang ramai akan dimaklumkan mengenai tarikh, masa dan tempat bagi temu janji suntikan pelalian ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

-bharian

15 juta penduduk UK terima suntikan pertama vaksin

February 16, 2021 | News | No Comments

Lebih 15 juta penduduk United Kingdom (UK) sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Perdana Menterinya, Boris Johnson memuji prestasi luar biasa itu yang dicapai lebih dua bulan selepas individu pertama di negara itu menerima suntikan vaksin itu pada 8 Disember lalu.

BBC melaporkan kerajaan dijangka secara rasmi mengumumkan kejayaan itu pada Isnin.

Ia sekali gus memenuhi janji untuk menawarkan suntikan kepada empat kumpulan paling utama di negara itu.

Empat kumpulan terbabit adalah penghuni rumah penjagaan orang tua dan kakitangannya; individu berusia 80 tahun ke atas, petugas barisan hadapan dan penjaga; individu berusia 75 tahun dan ke atas; dan mereka yang paling mempunyai risiko masalah kesihatan.

Suntikan vaksin selepas ini akan diperluas membabitkan individu berusia lebih 65 tahun dan mereka yang lemah secara klinikal.

Dalam satu video, Johnson memuji usaha berkenaan dengan menyatakan bahawa suntikan vaksin di England sudah ditawarkan kepada semua individu di dalam empat kumpulan utama berkenaan.

Wales juga sudah merekodkan kejayaan sama.

“Kami masih punya jalan panjang. Dan pasti akan ada banyak jalan.

“Tetapi selepas semua yang kami capai, saya tahu kita dengan yakin merekodkan kemajuan,” kata Johnson.

Statistik pada Ahad menunjukkan 15,062,189 orang sudah menerima dos pertama vaksin itu di UK.

Ia selepas 505,362 individu menerima suntikan pertama vaksin itu, sehari sebelumnya.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan 258 orang lagi meninggal dunia di UK, dalam tempoh 28 hari selepas disahkan positif Covid-19.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu di UK kepada 117,166 orang.

Setakat ini, negara itu merekodkan 4,038,078 positif Covid-19.

HM

KUCHING – Seramai 23 sukarelawan di Sarawak telah mendaftar setakat ini serta memberikan keizinan untuk menjalani ujian klinikal bagi vaksin SARS-CoV-2 dari China dan dua daripada mereka telah menerima suntikan pada Rabu, kata Pengarah Kesihatan negeri itu, Dr Chin Zin Hing.

Beliau berkata, ujian klinikal bagi vaksin baharu itu kini dilakukan di sembilan pusat di seluruh negara termasuk Hospital Umum Sarawak (SGH).

“Proses itu masih berlangsung dan mereka yang telah mendaftar akan dihubungi serta disaring dan akan diberikan waktu untuk datang menerima suntikan serta janji temu berikutnya,” katanya kepada pemberita pada sidang harian perkembangan Covid-19 di sini pada Khamis.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini berkata, ujian klinikal bagi vaksin SARS-CoV-2 telah bermula pada 27 Januari lepas di sembilan hospital dan membabitkan kira-kira 3,000 sukarelawan.

Dr Adham berkata, fasa ketiga ujian klinikal vaksin yang dibangunkan dan ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS) sedang dijalankan dengan matlamat menilai keselamatan serta keberkesanannya terhadap jangkitan Covid-19.

Sementara itu, Dr Chin berkata, vaksinasi bagi vaksin Pfizer-BioNTech akan bermula akhir bulan ini, yang membabitkan petugas barisan hadapan di Sarawak.

-sh

Kumpulan pertama di kalangan rakyat Malaysia akan menerima vaksin Covid-19 pada awal Mac depan sebaik bekalan diterima dari pengeluar penghujung Februari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehingga tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.

Menurutnya, tempoh itu dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau kira-kira 27 juta rakyat Malaysia menjelang suku pertama 2022.

“Kerajaan menyediakan dana tambahan sebanyak RM1 bilion merangkumi hampir RM800 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga agensi lain yang terbabit.

“Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan serta peralatan perlindungan diri (PPE) terutama kepada petugas kesihatan,” katanya dalam pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), hari ini.

Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sudah membuat keputusan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil golongan yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas penghujung bulan ini dengan peruntukan tambahan RM150 juta.

Menurutnya, penambahan kakitangan kesihatan itu terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat.

“Pemberian ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini.

“Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak Covid-19 berakhir,” katanya.

Beliau berkata, hospital swasta juga sudah bersetuju untuk menerima serta merawat pesakit dan bukan pesakit Covid-19 bagi meringankan beban tekanan kepada sistem kesihatan awam dengan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, katanya, bagi mengurangkan kebimbangan rakyat berhubung jangkitan dalam kalangan pekerja pembinaan warga asing, prosedur operasi standard (SOP) bagi pembinaan bangunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan mengehadkan pekerjanya ke tapak pembinaan.

“Majikan disarankan memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi membendung penularan Covid-19.

“Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut terbabit dalam pelaksanaan Program Ujian Saringan Covid-19 ke atas pekerja asing yang berdaftar dan dari 1 Disember 2020 hingga 17 Januari, pekerja asing yang sudah menjalani ujian saringan adalah seramai 160,982 orang.

“Untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan Covid-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 seperti diumumkan pada Belanjawan 2021 kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan Covid-19,” katanya.

HM

//zuphaims.com/afu.php?zoneid=2458908