Tag Archive : Wajib

/ Wajib

Kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos ujian saringan pekerja asing berkenaan akan ditanggung oleh majikan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, semalam, seramai 6,641 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan.

“Daripada jumlah itu, 85 orang disahkan positif Covid-19. Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember, seramai 265,770 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 10,973 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 4,867 orang disahkan positif Covid-19 manakala 260,903 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 890 klinik terbabit dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, semalam.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 61,421 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri berkata, seramai 2,841 pasukan pematuhan membabitkan 12,690 anggota membuat pemantauan di 5,203 restoran, pasar raya (3,565), bank (3,347), pejabat kerajaan (3,015), penjaja (1,897) dan kilang (1,437).

Katanya, turut dipantau ialah 950 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (341) dan terminal pengangkutan udara (81).

“Semalam, seramai 826 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 776 dikompaun manakala 50 individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (170), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (158), tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (248),” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, 20 pendatang tanpa izin (Pati) ditangkap dalam Op Benteng semalam selain lima kenderaan darat serta tiga bot/kapal turut dirampas.

Dalam operasi itu, katanya, pihak berkuasa turut mengesan sebuah bot/kapal di perairan negara melalui satu aktiviti penglihatan.

“Op Benteng yang membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 537 Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Pecahan iaitu Op Penawar (ATM, PDRM dan RELA) sebanyak 481 SJR; Op Benteng PDRM sebanyak 47 SJR dan Op Benteng Aksem sebanyak sembilan SJR,” katanya.

HM

Semua pengawal keselamatan warga asing diwajibkan membuat saringan kesihatan swab koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas pihaknya bermesyuarat hari ini dan arahan mewajibkan saringan itu akan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana syarikat-syarikat pengawal keselamatan berada di bawah kementerian tersebut.

“Keputusan itu juga diambil kerana mengambil kira faktor pengawal keselamatan ini yang terdedah atau mempunyai hubungan terlalu banyak dengan orang ramai. Tambah lagi jika yang menjaga pusat beli-belah atau pasar raya, mereka bertanggungjawab memeriksa suhu badan pengunjung atau pelanggan yang datang.

“Orang yang masuk ke pusat beli-belah pula tidak didaftarkan dan sukar, untuk buat pengesanan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dalam pada itu mengulas berhubung status sebuah pusat beli-belah di Cheras iaitu lokasi kluster baharu Covid-19, Ismail Sabri berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada untuk menutup operasi premis tersebut atau tidak.

“Sama ada tutup atau tidak kawasan itu, KKM akan beri pandangan dan nasihat mereka. Kalau perlu tutup, tindakan tutup akan diambil,” katanya.

Selain itu menurut beliau, KKM setakat ini sudah mengambil tindakan awal dengan mengasingkan pengawal keselamatan pusat beli-belah itu yang positif Covid-19.

“Mereka sudah dibawa ke hospital untuk diasingkan dan diberi rawatan malah kontak rapat mereka juga sudah menjalani ujian swab,”katanya.

SH

Penghantar makanan di Kedah wajib berdaftar

April 22, 2020 | News | No Comments

INDIVIDU yang menjalankan perkhidmatan menghantar makanan di Kedah diminta untuk mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) segera bagi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Tan Kok Yew berkata, perkara itu telah diputuskan menerusi Mesyuarat Tadbir Urus PBT Negeri Kedah yang diadakan semalam.

“Keputusan itu selaras dengan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 17 April lalu yang menyatakan individu yang menghantar makanan perlu mendaftar dengan PBT.

“Dalam mesyuarat semalam, telah diputuskan supaya semua individu yang diupah untuk menghantar makanan perlu berdaftar dengan PBT mengikut prosedur pendaftaran selain mematuhi tatacara kawalan penghantaran makanan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara tatacara kawalan yang telah ditetapkan adalah radius penghantaran makanan yang dibenarkan cuma dalam lingkungan 10 kilometer dari alamat semasa pemohon.

Tan berkata, pendaftaran tersebut dilaksanakan secara percuma dengan pemohon boleh mendapatkan borang secara dalam talian di laman web PBT atau di pejabat PBT berhampiran dan kelulusan tertakluk kepada penilaian pihak PBT.

Sementara itu, Tan berkata bagi pengendali makanan pula, mereka perlu mematuhi garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual secara dalam talian sepanjang PKP yang dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan.

Tegasnya, pengendali makanan yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai lesen PBT seperti mereka yang memasak secara sendiri untuk dijual secara dalam talian perlu merujuk kepada Kementerian Kesihatan serta mendapatkan suntikan vaksin anti tifoid.

hmetro

//cdrvrs.com/4/2458908