Tag Archive : wanita

/ wanita

OKT wanita dibawa lari teman lelaki

September 15, 2020 | News | No Comments

Raub: Polis sedang memburu seorang wanita yang berjaya meloloskan diri pada 4.30 petang semalam selepas selesai sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Wanita itu dilaporkan lari bersama teman lelakinya dengan menaiki motosikal.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, ketika kejadian anggota polis wanita bertugas mengiringi 12 orang kena tahan (OKT) naik ke lori polis untuk di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub petang semalam dan seorang daripadanya adalah wanita.

“Semasa sedang memerhatikan OKT menaiki lori, tiba-tiba datang seorang lelaki Melayu menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dari arah belakang anggota polis dan terus berhenti di tepi OKT wanita terbabit.

“OKT wanita itu kemudian melompat ke atas motosikal dan penunggang (motosikal) terus memecut laju meninggalkan perkarangan parkir mahkamah,” katanya.

Menurutnya, anggota polis mengejar motosikal terbabit namun gagal menghalang pasangan ituy melarikan diri disebabkan dia terjatuh.

“OKT wanita itu melarikan diri dalam keadaan kedua tangannya masih bergari,” katanya.

Kama Azural berkata, OKT wanita tersebut dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952.

“Wanita berusia 23 tahun itu dan berasal dari Kampung Ulu Lepar Dong, Raub itu sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Raub semalam dan mengaku tidak bersalah dan sebutan semula kes pada 29 September depan,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti teman lelaki wanita itu yang berasal Kampung Pulau Kabong Budu, Benta, Lipis.

“Usaha mengesan pasangan itu sedang giat dijalankan dan keluarga mahupun orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

hmetro

Wanita tertekan dilabel pelacur, penipu

September 14, 2020 | News | No Comments

Kuala Lumpur: ‘Umpan’ wang pendahuluan RM100 sebelum mangsa diugut supaya menyerahkan wang RM1,100 kononnya bayaran ‘wajib’ kerana permohonan pinjaman sudah diluluskan.

Jika enggan membuat bayaran itu, mangsa akan diugut menggunakan gambar dan MyKad milik mereka dengan mendakwa individu terbabit sebagai pelacur selain difitnah sebagai penipu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Fatihah, 35, berkata dia melihat satu hantaran di Facebook mengenai laman sesawang pinjaman wang untuk membuat pinjaman RM5,000 bagi tujuan pembayaran kad kredit pada 2 September lalu.

“Selepas menghubungi syarikat berkenaan menerusi seorang lelaki, dia mengarahkan saya untuk menyerahkan maklumat seperti gambar, MyKad, slip gaji, nombor akaun bank, nama akaun media sosial dan bil utiliti untuk tujuan memproses permohonan pinjaman berkenaan.

“Lelaki itu kemudian memasukkan wang RM100 ke dalam akaun saya kononnya sebagai percubaan pinjaman sebelum meminta saya membuat pembayaran RM1,100 selepas permohonan pinjaman dikatakan sudah diluluskan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Fatihah berkata, dia kemudian membatalkan pinjaman berkenaan serta mahu memulangkan semula wang RM100 itu, namun lelaki berkenaan menolaknya.

Menurutnya, lelaki terbabit turut memujuk dirinya supaya meneruskan permohonan pinjaman berkenaan, tetapi dia bertegas untuk membatalkan pinjaman terbabit.

“Namun, saya bertegas untuk tidak membuat pinjaman menyebabkan lelaki berkenaan mengugut saya dengan menghantar keratan berbentuk risalah memaparkan muka saya memegang MyKad berserta nama akaun Instagram dengan ayat berunsur ugutan serta kata-kata kesat.

“Antara fitnah yang dilemparkan dalam risalah itu adalah saya terbabit dengan kegiatan pelacuran, dilabel sebagai penipu serta pengkhianat agama,” katanya.

Menurutnya, dia cuba untuk menyelesaikan masalah itu secara baik dengan memulangkan semula wang RM100 kepada lelaki terbabit termasuk pergi ke bank, tetapi gagal.

Katanya, masalah bertambah rumit apabila tempat kerjanya turut memaklumkan mereka menerima surat layang mengandungi ugutan sama dihantar lelaki terbabit pada Khamis lalu.

“Tindakan itu menyebabkan saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

hmetro

Wanita rentung dalam kebakaran dua rumah

September 11, 2020 | News | No Comments

GEORGETOWN – Seorang wanita ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua rumah teres dua tingkat di Taman Lintang, Air Itam di sini dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong Muzamer Mohd Salleh berkata, mayat Choo Hooi Hong, 50-an, dijumpai pihak bomba di tingkat bawah rumah pertama yang terbakar itu.

“Pihak bomba menerima panggilan memaklumkan kebakaran rumah pada jam 2.10 pagi sebelum pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong terus ke lokasi dan mendapati dua buah rumah terbakar serta api dalam keadaan marak,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kebakaran yang tercetus dari rumah pertama itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Toyota Alphard yang diparkir di kawasan garaj rumah dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh setengah jam daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Muzamer berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.05 pagi dengan rumah pertama mengalami kemusnahan akibat kebakaran kira-kira 85 peratus manakala rumah kedua pula 75 peratus.

Beliau berkata, pihak bomba membuat pemeriksaan lanjut di dalam kediaman pertama selepas penghuni lain memaklumkan terdapat mangsa tidak sempat menyelamatkan diri dan menemukan mayat wanita terbabit di tingkat bawah rumah berkenaan.

“Pasukan perubatan yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia ketika dijumpai dan mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dua rumah itu dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. 

-sinarharian

Wanita diabetes dipukul, dirantai suami dan anak

August 10, 2020 | News | No Comments

KONON mahu mengawal pemakanan isterinya yang menghidap kencing manis, seorang suami bersama anaknya tergamak memukul dengan tali pinggang dan rotan serta mengikat mangsa dengan rantai di kerusi dalam rumah mereka di Batu Caves di Gombak semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berusia 67 tahun itu terpaksa meminta bantuan polis selepas ditinggalkan berseorangan di dalam rumah dalam keadaan badan dirantai di kerusi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa membuat laporan selepas suaminya yang berusia lingkungan 60-an dan anak lelakinya mengunci pintu rumah dan meninggalkannya.

“Mangsa menghubungi talian kecemasan 999 dan polis yang tiba tidak lama kemudian meminta bantuan pihak bomba untuk memotong kunci mangga rumah seterusnya menyelamatkan mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati suami dan anaknya melakukan perkara itu untuk mengawal pemakanan pengadu yang menghidap penyakit kencing manis yang serius,” katanya kepada Harian Metro.

Arifai Tarawe berkata, suami dan anaknya kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 342 Kanun Keseksaan.

hmetro

Wanita ‘bergaya’ kantoi curi pakaian

August 10, 2020 | News | No Comments

GURU tuisyen wanita ditahan polis selepas disyaki cuba mencuri 21 pakaian di sebuah butik di pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.

Cubaannya itu gagal selepas ia disedari pekerja butik berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penyelia butik berkenaan mengenai kejadian itu pada 6.30 petang.

“Ketika penyelia terbabit membuat pemantauan di butik itu, dia melihat suspek dalam keadaan mencurigakan dan dilihat mengisi beberapa pakaian ke dalam beg butik berkenaan.

“Suspek berusia 28 tahun itu kemudiannya dilihat keluar dari butik itu tanpa membuat pembayaran menyebabkan penggera di pintu keluar berbunyi.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, suspek gagal mengemukakan resit pembelian sebelum dia ditahan pihak pengurusan butik berkenaan bagi diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pihaknya turut merampas 21 pakaian dianggarkan bernilai RM4,310 yang cuba dicuri suspek terbabit untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

hmetro

Nikah ekspres Farouk & Ali

August 7, 2020 | News | No Comments

DENGAN hanya bermodalkan RM1,000, seorang lelaki Bangladesh boleh menikahi wanita warga tempatan dengan bantuan ‘tok kadi’ senegaranya yang menawarkan perkhidmatan itu sejak beberapa bulan lalu.

Tindakan terdesak itu hanya digunakan untuk ‘menghalalkan’ tindakan mereka menetap lebih lama di negara ini selain memudahkan urusan perniagaan yang bakal menggunakan identiti wanita tempatan dinikahinya.

Modus operandi licik itu dikesan dilakukan dua lelaki Bangladesh dikenali sebagai Farouk dan Ali dengan menjadikan sebuah rumah di pangsapuri di Seksyen 25 di sini, sebagai markas.

Difahamkan lokasi itu menjadi tumpuan sindiket beroperasi berikutan kawasan itu didiami ramai warga asing khususnya Bangladesh, Myanmar dan Nepal sejak beberapa tahun lalu.

Berperanan sebagai tok kadi, dua lelaki terbabit menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakan senegara yang mahu bernikah dengan wanita tempatan tanpa perlu melalui prosedur ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Mendedahkan kegiatan itu, Pengerusi Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor, Datuk Nazilah Idris mendakwa aktiviti tidak bermoral itu dikesan selepas video dan gambar pernikahan itu tular di laman sosial sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada persatuan penduduk pangsapuri, dua lelaki Bangladesh itu menyewa di sebuah rumah sejak beberapa tahun lalu namun kegiatan nikah ekspres itu disedari, baru-baru ini.

“Biasanya lelaki Bangladesh atau bakal pengantin lelaki ini mencari wanita tempatan berusia untuk dinikahi.

“Mereka anggap taktik itu memudahkan mereka untuk menjalankan perniagaan yang kini tidak boleh dikendalikan warga asing susulan tindakan tegas kerajaan.

“Menerusi pernikahan itu mereka beranggapan hasrat menjalankan perniagaan lebih mudah kerana sudah beristerikan wanita tempatan walaupun tanpa sebarang dokumen pengesahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, wanita warga tempatan diberi nafkah bulanan kerana membenarkan identiti mereka digunakan dalam permohonan lesen.

“Sebarang masalah berkaitan pihak berkuasa tempatan diuruskan si isteri,” katanya.

Tambahnya, lelaki warga asing itu menggunakan alasan kedai diusahakan adalah milik isteri sekiranya pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Kegiatan nikah pantas ini dikesan giat berlaku selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita perniagaan diusahakan warga asing termasuk individu yang menyalahgunakan permit kerja di negara ini,” katanya.

Nazilah berkata, tindakan sedemikian perlu dikekang secara menyeluruh kerana ia dikhuatiri akan memesongkan akidah umat Islam kerana pernikahan dijalankan tidak menepati syarat sah seperti ditetapkan.

hmetro

Wanita ‘tertekan’ maut terjun bangunan

August 4, 2020 | News | No Comments

TERTEKAN kerana disahkan menghidap kanser usus dipercayai punca wanita bertindak terjun dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di Kuantan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, wanita berusia 45 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian disebabkan parah di kepala.

Katanya, berdasarkan laporan, wanita yang bekerja sebagai kerani itu memasuki pusat beli-belah terbabit dengan memandu sebuah kereta sebelum diparkir di aras lima bangunan pada 9.34 pagi.

“Pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan kaki di aras tujuh kawasan parkir dengan menggalas sebuah beg dengan memanjat dinding penghadang.

“Mangsa kemudian dilihat meniti di atas penghadang menuju ke hujung bangunan dipercayai untuk terjun.

“Pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan mayat wanita itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, suami mangsa memaklumkan isterinya pernah menghidap kanser usus pada 2016 dan dikatakan sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sekali lagi dikesan menghidap kanser usus pada Mac lalu dan sedang dalam rawatan kimoterapi.

“Pada 5.30 petang semalam, suami mangsa membawa isterinya untuk mendapatkan rawatan di HTAA kerana dikatakan tertekan dan tidak dapat tidur kesan penyakit yang dihadapi.

“Pegawai perubatan yang merawat juga menasihatkan mangsa supaya ditahan di wad, tetapi mangsa enggan dan meminta untuk dibekalkan ubatan sahaja,” katanya.

hmetro

Wanita sarat mengandung maut digilis treler

July 27, 2020 | News | No Comments

SEORANG wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut digilis sebuah treler dalam kemalangan tiga kenderaan di persimpangan Jalan Permatang Buloh, Kepala Batas, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Nur Amirah Izzati Rohaizat, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Dalam kejadian 10.45 malam ketika hujan lebat, mangsa yang menunggang motosikal dari arah pekan Darat dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa yang terjatuh kemudian digilis oleh treler dari arah Kepala Batas menghala Permatang Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat sementara kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

hmetro

Wanita mati ditetak

July 21, 2020 | News | No Comments

MAYAT wanita dipercayai warga asing dengan kesan tetakan di bahagian muka ditemui di ladang kelapa sawit Kelab Golf Tasik Puteri, Kundang, di Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan berkenaan pada 6 petang.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati mayat wanita tanpa pengenalan diri berusia 40-an ditemui terbaring dengan berpakaian lengkap.

“Berdasarkan pemeriksaan awal mangsa dipercayai warga asing. Terdapat kesan tetakan pada bahagian muka, kepala dan tapak tangan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Arifai berkata, polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi.

“Berdasarkan kepada keadaan mayat, dipercayai mangsa meninggal dunia lebih 48 jam.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak Asisten Superintendan Kolanthaivelu Raman di talian 03-61262222 atau 019-2579232.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

hmetro

Wanita antara ditahan kerana menyamun

June 30, 2020 | Crime | No Comments

TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian ragut di kawasan bangunan terbiar berhampiran pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kulim pada 24 Jun lalu.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis di daerah Kulim antara 4 petang sehingga 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 46 tahun sedang berjalan untuk ke pejabatnya di Lebuh Bandar, Bandar Putera, Kulim pada 1 tengah hari.

“Beg yang dibimbit mangsa tiba-tiba diragut oleh dua individu masing lelaki dan wanita yang menaiki sebuah motosikal.

“Akibat itu, mangsa kehilangan barangan berupa telefon bimbit, kunci kereta, set kunci rumah dan pejabat, selain cedera di lengan kiri kerana berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, siasatan awal mendapati dua daripada suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu dan menjual telefon bimbit mangsa kepada seorang lagi suspek.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah kerana mencuri.

“Mereka direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

hmetro

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908